“ Tok sãh kaecek luar lah, bau budu penga-penga”
“Tak usah bercakap Bahasa Malaysia standard lah bunyi macam Kelantan juga”
“Tak usah bercakap Bahasa Malaysia standard lah bunyi macam Kelantan juga”
Sebut saja budu, pasti ianya akan di kaitkan dengan Negeri Kelantan. Budu adalah sejenis perasa yang terkenal di Kelantan dan juga Selatan Thai. Ianya adalah makanan tradisional yang diperbuat dari ikan bilis yang diperam hingga hancur. Kebanyakan dari kita akan beranggapan bahawa budu adalah unik bagi negeri Kelantan, namun ianya juga boleh didapati di negara-negara lain. Di Filipina di kenali dengan patir, di Indonesia ketjap ikan, di Myanmar ngapi, di Veitnam nuoc mam, di Jepun ishiru/shottsuru, di India dan Pakistan colombo cure, di China yeesu dan di Korea aekjeot.
Budu di buat dengan mencampurkan ikan bilis : garam dengan nisbah diantara 2:1 hingga 6:1 dan diperamkan selama 140 hingga 200 hari. Secara saintifik ia terbentuk akibat hidrolisis ikan dan mikrob protease. Rasa dan aroma budu terbentuk melalui proses proteolisis (proses pemecahan peptid dan asid amino disebabkan tindakbalas enzim) mikro organisma yang ‘terselamat’ semasa proses pemeraman itu. Nisbah ikan berbanding garam memainkan peranan penting dalam pembentukan rasa budu yang dikehendaki. Kepekatan garam akan mempengaruh aktiviti mikrob dan enzim lalu membentuk rasa yang berbeza-beza. Mikro organisma yang didapati semasa pembentukan budu di klasifikasikan sebagai halophilis (boleh hidup dan membesar dalam keadaan bergaram) yang memainkan peranan penting dalam proses degradasi protein dan pembentukan rasa aroma. Nisae (gula nira kelapa) dan asam jawa/asam gelugur dicampurkan bagi mendorong perubahan warna kepada keperangan berlaku.
Makan nasi tiada ertinya kalau tiada budu yang bersertanya dimasukkan lada cengit, limau nipis (nak sedap lagi asam kerat lintang). Bagi menyelerakan lagi boleh di potong sedikit bawang merah, buah pauh dicincang halus, ditambah seulas durian atau tempoyak. Ikan kembong atau puyu bakar adalah pelengkap hidangan budu. Kata orang makan nasi dengan ulam cicah budu menyebabkan sindrom ‘mentua lalu tak nampak’.
Ulam merupakan gelaran kepada tumbuhan yang dimakan secara mentah atau sekadar dicelur (direndam sekejap dalam air panas) sebelum dicicah dan dimakan bersama nasi. Ulam diambil dari berbagai-bagai bahagian tumbuhan yang boleh dimakan. Ini termasuklah pucuk, daun, umbut, biji, buah, ubi dan kadang-kadang bunga.
Bayangkan nasi panas, budu, ikan tawar, pucuk putat, petai, jering, bunga kunyit, ulam raja, pucuk ttere .........
No comments:
Post a Comment