21 Feb 2008

Asal Usul Bahasa Melayu

Asal Usul Bahasa Melayu

Asal usul perkataan Melayu masih belum dapat disahkan oleh sejarawan. Bagaimanapun terdapat beberapa bukti sejarah yang cuba mengaitkan asal-usul bahasa Melayu. Salah satunya adalah, catatan orang China yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yeu mempersembahkan hasil bumi kepada raja China sekitar 644-645 Masihi. Dikatakan orang Mo-lo-yeu mengirimkan Utusan ke negara China untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi kepada raja China. Dipercayai kerajaan Mo-lo-yeu berpusat di daerah Jambi, Sumatera, nama nya daripada sebatang sungai yang deras alirannya, iaitu Sungai Melayu.

Satu lagi catatan orang China ialah catatan rahib Buddha bernama I-Tsing yang menggunakan kata ma-lo-yu tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar 675 Masihi. Dalam bahasa Jawa Kuno, perkataan ``Mlayu'' bermaksud berlari atau mengembara. Hal ini boleh dipadankan dengan orang Indo-Melayu (Austonesia) yang bergerak dari Yunan.

Asal Usul Bangsa Melayu

Dipercayai berasal daripada golongan Austronesia di Yunan. Kumpulan pertama dikenali sebagai Melayu Proto. Berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Batu Baru (2500 Sebelum Masihi). Keturunannya adalah Orang Asli di Semenanjung Tanah Melayu, Dayak di Sarawak dan Batak di Sumatera.

Kumpulan kedua dikenali sebagai Melayu Deutro. Mereka berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Logam kira-kira 1500 Sebelum Masihi. Keturunannya adalah orang Melayu di Tanah Melayu. Mereka ini dikatakan lebih bijak dan dan mahir daripada Melayu Proto. Meraka bijak dalam bidang astronomi, pelayaran dan bercucuk tanam. Kumpulan ini bilangan lebih banyak daripada Melayu Proto. Mereka menduduki kawasan pantai dan lembah di Asia Tenggara. Orang ini, kumpulan pertama dan kedua, dikenali sebagai Austronesia. Bahasa-bahasa yang terdapat di Nusantara sekarang berpunca daripada bahasa Austronesia ini.

Bahasa Austronesia ialah satu rumpun bahasa dalam filum bahasa Austris bersama-sama dengan rumpun bahasa Austroasia dan Tibet-China. Bahasa Melayu termasuk dalam bahasa-bahasa Golongan Sumatera bersama-sama dengan bahasa-bahasa Acheh, Batak, Minangkabau, Nias, Lampung dan Orang Laut.

Ahli bahasa membahagikan perkembangan bahasa Melayu kepada tiga tahap utama iaitu Bahasa Melayu Kuno, Bahasa Melayu Klasik dan Bahasa Melayu Moden.

Bahasa Melayu Kuno merupakan keluarga bahasa Nusantara. Kegemilangannya dari abad ke-7 hingga abad ke-13 pada zaman kerajaan Sriwijaya, sebagai lingua franca dan bahasa pentadbiran. Penuturnya berada di Semenanjung, Kepulauan Riau dan Sumatera. Ia menjadi lingua franca dan sebagai bahasa pentadbiran kerana ia bersifat sederhana dan mudah menerima pengaruh luar, tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat, mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding dengan bahasa Jawa.

Bahasa ini banyak dipengaruhi oleh sistem bahasa Sanskrit. Bahasa Sanskrit kemudian dikenal pasti menyumbang kepada pengkayaan kosa kata dan ciri-ciri keilmuaan (kesarjanaan) Bahasa Melayu. Ia nya mudah dipengaruhi Bahasa Sanskrit kerana pengaruh agama Hindu dan keadaannya yang terletak dalam kelas bangsawan, dan dikatakan mempunyai hierarki yang tinggi.

Peralihan Bahasa Melayu Kuno ke Bahasa Melayu Klasik dikaitkan dengan pengaruh agama Islam yang semakin mantap di Asia Tenggara pada abad ke-13. Selepas itu, bahasa Melayu mengalami banyak perubahan dari segi kosa kata, struktur ayat dan tulisan.

Bahasa Melayu Moden pula bermula pada abad ke-19. Hasil karangan Munsyi Abdullah dianggap sebagai permulaan zaman bahasa Melayu moden. Sebelum penjajahan Beritish, bahasa Melayu mencapai kedudukan yang tinggi, berfungsi sebagai bahasa perantaraan, pentadbiran, kesusasteraan, dan bahasa pengantar di pusat pendidikan Islam. Tetapi malangnya selepas Perang Dunia Kedua, British merubah dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar dalam sistem pendidikan. Cuma semasa Malaysia mencapai kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

No comments: