4 Sept 2011

Siapa Mat Indera

Siapa Mat Indera


Mat Indera, atau Ahmad bin Indera lahir di Kampung Gombak, Peserai, Batu Pahat, Johor pada tahun 1920. Beliau pernah bertugas sebagai guru agama di Parit Setongkat, Muar pada tahun 1937. Diceritakan juga Mat Indera pernah berguru dengan Haji Yassin, ayah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggesa Mat Sabu supaya bertaqwa baru-baru ini. Di dalam peperiksaan Darjah Khas untuk guru-guru agama, Mat Indera pernah menerima anugerah butang perak daripada kerajaan Johor di atas kecemerlangannya di dalam peperiksaan tersebut. Selepas lulus peperiksaan Darjah Khas, beliau bertugas di Sekolah Agama Bandar Pontian sebagai guru agama.

Sewaktu pendudukan Jepun, Mat Indera bekerja sebagai peniaga beras. Setelah British kembali, Mat Indera bertugas pula sebagai ketua pengangkut beras di Pelabuhan Muar. Di waktu inilah Mat Indera membabitkan diri di dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Pada awalnya, Mat Indera dilantik menjadi Setiausaha Angkatan Pemuda Insaf (API) daerah Muar sewaktu API dipimpin oleh Ahmad Boestamam. Ketika British menguatkuasakan undang-undang darurat pada tahun 1948, semua parti politik berhaluan kiri diharamkan, termasuklah API (UMNO masih halal ketika ini dan hanya pernah haram sekali sahaja pada tahun 1988). Secara tidak langsung, Mat Indera menjadi buruan penjajah British.

Oleh kerana hanya komunis sahaja yang berjuang menentang British di dalam hutan, tidak dapat tidak Mat Indera terpaksa menjalinkan hubungan dengan komunis. Tindakan Mat Indera bersatu tenaga dengan komunis mencetuskan kemarahan British yang menawarkan hadiah sebanyak $25,000.00 kepada sesiapa yang berjaya menangkap Mat Indera. Ibu bapa Mat Indera, adiknya Johan Shah serta datuk dan nenek Mat Indera terpaksa keluar masuk penjara selama beberapa bulan kerana disoal siasat oleh pihak British, namun Mat Indera masih gagal diberkas oleh penjajah.

Mat Indera dan Bukit Kepong

Peranan Mat Indera di dalam tragedi Bukit Kepong juga hangat diperdebatkan. Banyak teori yang dikemukakan, ada yang mengiyakan, tapi tak kurang juga yang menafikan. Namun hampir kesemuanya bersetuju Mat Indera terbabit secara langsung menyerang Rumah Pasung Bukit Kepong.

Misalnya, anggota polis marin yang terselamat di dalam tragedi itu, Abu Bakar Daud (gambar) menafikan bahawa Mat Indera turut menyerang anggota polis, sebaliknya Mat Indera melindungi dan menyelamatkan keluarga anggota polis daripada menjadi mangsa pihak komunis. Seorang komunis Melayu, Shahran Abdul Ghani yang pernah aktif di kawasan Yong Peng mengesahkan bahawa serangan ke atas Rumah Pasong Bukit Kepong diarahkan oleh Mat Indera. Adik Mat Indera, Johan Shah pula mendedahkan bahawa abangnya mengaku bahawa beliau (Mat Indera) bertanggungjawab mengarahkan serangan ke atas Rumah Pasung Bukit Kepong tetapi tidaklah sehingga ke tahap membunuh dan membakar balai polis. Apa yang berlaku ialah orang-orang bawahannya yang berbangsa Cina telah melanggar arahan Mat Indera dan membuat pakatan rahsia tanpa pengetahuan Mat Indera.

Apa pun peranan sebenar Mat Indera dalam tragedi Bukit Kepong itu, pihak British telah melabelkan Mat Indera sebagai pengganas dan tawaran dinaikkan kepada $75,000.00 untuk sesiapa yang berjaya menangkap Mat Indera. Rancangan demi rancangan diatur, akhirnya pada 1952, Mat Indera tertangkap setelah diperdayakan oleh rakan yang dipercayai olehnya. Beberapa pemimpin Melayu, antaranya Kadi Haji Ahmad Shah Haji Abdul Jabar cuba memujuk Mat Indera supaya bertolak ansur dengan penjajah sewaktu perbicaraan di mahkamah untuk melepaskan diri daripada hukuman mati, tetapi semua ini ditolak oleh Mat Indera. Akhirnya, Mat Indera didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati pada 30 Januari 1953.

Yayasan Warisan Johor iktiraf Mat Indera

Mat Indera ialah seorang pejuang kemerdekaan, ini merujuk kepada buku biografi Pengukir Nama Johor yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor pada tahun 2004. Di dalam buku ini terdapat 22 biografi ringkas tokoh-tokoh ternama Johor dan salah seorang daripadanya ialah Mat Indera sendiri.

Yayasan Warisan Johor meletakkan nama Mat Indera sebaris dengan Almarhum Sultan Ismail dan Tun Sulaiman Ninam Shah, bekas pengerusi tetap UMNO. Malah foto Mat Indera juga menjadi sebahagian daripada kulit hadapan buku ini. Buku ini adalah hasil karya pelbagai penulis, tetapi biografi Mat Indera ditulis oleh Ismail Adnan, bekas guru kanan yang pernah menjadi Timbalan Pengarah, Institut Kepimpinan dan Latihan Semangat Dato' Onn. Buku ini juga telah disunting oleh Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid, bekas Profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan Md Ismail Zamzam, Tokoh Guru Berjasa Johor 2002. Prakata buku ini pula ialah daripada Menteri Besar Johor sendiri, Dato' Abdul Ghani Othman. Pendek kata, penerbitan buku ini mendapat restu kerajaan Johor.

Bacalah biografi Mat Indera di dalam buku ini, betapa keperibadian Mat Indera disanjung. Latar belakangnya juga mengagumkan. Secara jelas Ismail Adnan menukilkan bahawa "Pihak Inggeris telah berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat Tanah Melayu bahawa seorang manusia Melayu beragama Islam yang kuat pegangan agamanya bernama Mat Indera itu adalah seorang penderhaka kepada negara, membelakangkan ajaran agama Islam serta menjadi pengganas komunis yang kejam dan tidak berperikemanusiaan". Di akhir biografi ringkas Mat Indera, penulis ada menyebut "Adakah Mat Indera seorang petualang atau pejuang? ...Dia tidak mempunyai kepentingan peribadi. Dia juga tidak mempunyai niat jahat terhadap bangsa dan negaranya. Dia rela mempertaruhkan nyawanya demi memperjuangkan hak kedaulatan sebuah negara yang terbelenggu oleh rantai penjajahan.




Muhammad Indera (Seated with a boy smiling behind him.) This is a photo of him while he was a religious teacher in Parit Stongkat Religious School, he was a resident of Bakri, a place in Muar. According to my father, he joined the Communist Party not because of the ideology, instead he was seeking refuge from the British, who wanted him for his anti-British activities. However, his act of heading the group of communist to attack Bukit Kepong Police Station was controversial. He got away after the attack on Bukit Kepong. After a while, he was caught by the British Army and brought to Ipoh and executed (hanged). (Photo taken from Jazlan's father old album. Muhammad Indera used to be my father's teacher in Primary Three)




No comments: