Kerajaan Malaysia menghentikan bantuan per kapita kepada SAR pada 25 Oktober 2002. Antara alasan yang diberi ialah Najib mengatakan bahawa SAR berkemungkinan menjadi pusat melatih pengganas, dan Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Strategi Malaysia (MSRC) pada ketika itu, Abdul Razak Baginda pula menyatakan bahawa murid SAR berpotensi direkrut menjadi pengganas (Berita Harian, 16 Januari 2003). Apa yang mereka katakan adalah sama: membayangkan kemungkinan bahawa SAR akan menjadi kilang yang melahirkan pengganas!
Menarik bantuan per kapita kepada SAR (Sekolah Agama Rakyat) yang jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan hak kerajaan untuk memberi bantuan per kapita kepada sekolah sekolah ini. Tindakan ini lebih dilihat sebagai tindakan politik sempit atas alasan SAR adalah pusat melahirkan pengganas dan bertapaknya golongan pembangkang dari parti Islam. Hingga hari ini ia kekal satu tuduhan tidak berasas.
Apakah yang dimaksudkan dengan SAR? Sekolah Agama Rakyat (SAR ) adalah sekolah yang menawarkan pendidikan formal dan sepenuh masa di peringkat rendah dan menengah dalam bidang agama Islam dan tertakluk di bawah Enakmen Negeri dan perlu berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri. Kelantan adalah negeri yang mempunyai paling banyak SAR.
Akibat daripada penarikan bantuan per kapita ini Negeri Kelantan di bawah pimpinan TG Dato' Nik Abdul Aziz terpaksa membelanjakan peruntukan yang sangat besar bagi memastikan Sekolah Sekolah di bawah kelolaan YIK untuk terus hidup dan memberikan pelajaran akademik dan agama secara sistematik kepada rakyatnya.
Nik Nor Madihah
Pada 12 Mac 2008 pelajar Maahad Muhammadi Perempuan, Nik Nor Madihah Nik Mohamad Kamal telah membuktikan apa yang telah dikatakan oleh bakal PM dan Razak Baginda itu adalah tidak benar. Beliau telah muncul sebagai pelajar SPM terbaik peringkat kebangsaan tahun 2008 dengan mendapat 20A (19A1, 1A2). Adik Madihah telah mengulangi kejayaan Siti Fatimah Mukhtar pada tahun 2006, yang juga muncul sebagai pelajar cemerlang negara apabila mendapat 18A (17A1 dan 1A2). Tahniah kepada kedua-dua mereka dan ramai lagi yang telah mengharumkan nama Kelantan dan juga pelajar SAR yang pernah di cemuh satu ketika dahulu.
Pada tahun ini sebanyak 17 sekolah Yik memperolehi keputusan peperiksaan 100 % dalam SPM, ini termasuk Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah yang pelajarnya buat kali pertama kali menduduki SPM. Pencapaian peperiksaan SPM 2008 meningkat sebanyak 2.45 peratus naik kepada 98.01 peratus.
Pihak JPN yang sepatutnya sama-sama meraikan kejayaan anak-anak Kelantan yang cemerlang ini telah bersikap sebaliknya. Menurut Exco kerajaan negeri Kelantan, Ustaz Mohd Amar Abdullah, keputusan peperiksaan tersebut lewat diumumkan kerana kurang mendapat kerjasama pegawai Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan (JPN). Pegawai JPN melengah-lengah penyerahan slip keputusan sekolah agama kepada pegawai Yik yang datang mengambil keputusan tersebut itu. Pihak media aliran perdana pada mulanya seperti tidak mahu mengiktiraf kejayaan Nik Nur Madihah ini. Laporan awal tentang keputusan SPM sengaja tidak melaporkan berita tentang beliau. Hanya TV9 memberi liputan tentang Madihah tetapi menyebut beliau dari Sekolah Naim Lilbanat dan bukan dari Maahad Muhammadi Perempuan. Seperti kata Ustaz Nik Amar "Tak perlulah kita nak sorok atau rahsiakan kejayaan pelajar Maahad Muhammadi Perempuan."
Tahniah kepada ibu Nik Nur Madihah, Puan Mariani Omar dan ayah beliau Nik Mohammad Kamal kerana telah berjaya mendidik anak mereka menjadi seorang yang cemerlang. Walaupun kehidupan mereka amat sederhana dan keadaan tempat tinggal mereka nampak tidak kondusif, ini tidak menghalang Adik Nur Madihah dari memburu cita-cita beliau. Ini membuktikan harta dan taraf hidup bukan pengukur atau juga penghalang kepada kejayaan seseorang.
Rahsia kejayaan pelajar pelajar sekolah di bawah Yik kerana tidak pernah membelakangkan syariat dalam semua hal termasuk pendidikan. Yang pasti kepada sikap pihak tertentu yang memperlekehkan sekolah agama, hari ini mereka melihat sendiri apa yang berlaku dengan kehendak Allah adalah sebaliknya.
No comments:
Post a Comment