1 Jul 2014

Kadar Zakat Fitrah Kelantan Tahun 1435 Hijrah

Kadar Zakat Fitrah Kelantan Tahun 1435 Hijrah

Kadar zakat fitrah di Kelantan pada tahun ini kekal sebanyak RM7, manakala kadar nisab mata wang bagi tahun 1434 Hijrah pula ialah sebanyak RM13,900 untuk haul antara Ramadan 1434 hingga 1435 Hijrah.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Datuk Kamaruddin Mohd. Zin berkata, pihaknya telah melantik seramai 611 orang amil terdiri daripada imam masjid di setiap mukim dan pegawai agama di kem tentera, balai polis serta pusat tahanan untuk memungut zakat fitrah.

Adalah dijangkakan kutipan zakat fitrah bagi tahun ini ialah sebanyak RM8 juta berbanding RM7.9 juta tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak satu peratus.

Orang ramai boleh membayar zakat di kaunter pejabat MAIK di Lundang yang akan beroperasi bermula 10 Julai ini sehingga 7 Ogos depan termasuk hari kelepasan am, mulai pukul 8 pagi hingga 5 petang.

Orang ramai juga boleh membayar zakat melalui institusi perbankan yang dilantik sebagai ejen kutipan zakat iaitu Bank Islam, CIMB, RHB, Ambank, Maybank, Bank Rakyat, Affin Islamic dan Standard Chartered Bank. Pembayaran boleh dilaksanakan dengan menggunakan perkhidmatan kaunter dan perbankan internet. MAIK juga telah melaksanakan pembayaran melalui portal e-zakat.

Perluasan kaedah pembayaran zakat itu bertujuan memenuhi keperluan teknologi terkini iaitu menyediakan bayaran secara online yang mampu dilaksanakan secara cepat, mudah dan selamat. Kaedah ini dilaksanakan melalui tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Arab.

Pembayaran zakat juga boleh dibuat di kaunter-kaunter pungutan zakat di masjid-masjid seluruh negeri, pejabat pos dan kaunter bergerak di pusat beli-belah KB Mall dan TESCO pada 14 Julai hingga 5 Ogos serta Mydin Kubang Kerian pada 14 Julai hingga 1 Ogos depan.

Dalam pada itu, pihak MAIK menyasarkan kutipan zakat fitrah dan harta pada tahun ini sebanyak RM120 juta dan sehingga 30 Jun lalu, MAIK telah mengutip sebanyak RM53.166 juta berbanding RM35.137 juta tempoh sama tahun sebelumnya. Zakat pendapatan merupakan penyumbang terbesar mewakili kira-kira 60 peratus, diikuti zakat perniagaan daripada badan korporat dan swasta.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak RM15.187 juta, ia antara lain hasil kesedaran umat Islam di dalam dan luar Kelantan untuk menunaikan kewajipan tersebut, selain kaedah pembayaran zakat yang semakin dipermudahkan

Datuk  Kamaruddin turut memberitahu, sehingga 30 Jun lalu, pihaknya telah mengagihkan lebih RM63.10 juta kepada lapan golongan asnaf yang layak menerima zakat di negeri ini.

Kadar Zakat Fitrah Mengikut Negeri

Negeri
Kadar Zakat (RM)
Kelantan
RM7.00
Johor
RM6.70
Kedah
RM7.00
Melaka
RM6.70
Negeri Sembilan
RM6.50
Pahang
RM7.00
Perak
RM7.00
Perlis
RM6.50
Pulau Pinang
RM7.00
Sabah
RM7.00
Sarawak
RM7.00
Selangor
RM7.00
Terengganu
RM7.00
Kuala Lumpur/ Putrajaya/ Labuan
RM7.00


Kadar Zakat Fitrah & Kadar Nisab Matawang/ Harta Tahun 1990 -2014

Tahun
Harga Fitrah (Gantang Baghdad)
Kadar Nisab Matawang/ Harta
2014
RM7.00
RM13,900.00
2013
RM7.00
RM13,900.00
2012
RM7.00
RM13,900.00
2011
RM7.00
RM11,000.00
2010
RM7.00
RM10,200.00
2009
RM6.90
RM8,422.14
2008
RM7.60
RM7,788.88
2007
RM4.80
RM6,296.82
2006
RM4.80
RM5,570.03
2005
RM4.70
RM4,505.11
2004
RM4.30
RM4,186.22
2003
RM4.30
RM3,625.27
2002
RM4.30
RM3,105.57
2001
RM4.00
RM3,062.50
2000
RM4.00
RM3,187.00
1999
RM4.00
RM3,187.50
1998
RM3.40
RM3,250.00
1997
RM3.30
RM2,812.50
1996
RM3.00
RM3,000.00
1995
RM2.80
RM2,968.75
1994
RM2.70
RM2,891.00
1993
RM2.70
RM2,583.00
1992
RM2.50
RM3,024.00
1991
RM2.50
RM3,150.00
1990
RM2.50
RM3,307.50

No comments: