31 Dec 2008

Selamat Berjuang Anak-Anak Ku

Masuk Darjah Satu

30 Disember 2008, bersamaan 2 Muharram 1430, Abae Zu mengambil cuti pada hari ini. Tujuan adalah untuk menyempurnakan dua hal yang penting berkaitan pendidikan anak-anak.

Yan pertama, pada hari ini Shafiqa Sufina anak yang ketiga diterima masuk ke Darjah Satu di Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail (3), Kota Bharu. Fiqa agak ‘excited’ untuk ke sekolah, bangkit awal dan mengenakan uniform sekolah yang baru.





Puan Guru Besar memberi taklimat dan juga pengharapan beliau kepada murid-murid dan juga ibu bapa.

Selamat Menghadapi Alam Persekolahan Untuk Adik.

Dapat Keputusan PMR

Pada hari ini juga Hilmi Hisham, anak sulung kawae yang belajar di Maahad Muhammadi Lelaki, Kota Bharu mendapat keputusan PMR yang didudukinya bulan Oktober lepas. Keputusan yang sepatutnya diketahui pada pukul 12:30 tengahari di sekolah, diketahui lebih awal melalui seorang rakan Cikgu Khairul Fathmi melalui telefon. Beliau adalah guru yang bertanggung jawab mendapatkan keputusan PMR sekolah Maahad dari Yayasan Islam Kelantan.

Kawae dengan Abah kawae dan juga
orae ttino
kawae sama-sama hadir ke sekolah untuk berkongsi saat yang besejarah ini dengan Hisham.




Maahad Muhammadi Lelaki adalah diantara sekolah-sekolah kelolaan Yayasan Islam Kelantan yang ditubuhkan di Negeri Kelantan, di bawah Kerajaan Negeri Kelantan. Sekolah di bawah YIK menjalankan 2 kurikulum serentak iaitu kurikulum Al-Azhar dan juga kurikulum Kebangsaan. Zaman persekolahan pelajar-pelajar seperti Hisham di sekolah kelolaan YIK akan dipenuhi dengan peperiksaan. Bermula dari Tingkatan 2 hingga ke Tingkatan 6 Atas, pelajar-pelajar akan melalui peperiksaan PMRU, PMR, SMU, STAM dan STPM.

Pada tahun ini keputusan Maahad Muhammadi Lelaki dalam PMR meningkat secara keseluruhan tetapi bilangan pelajar cemerlang yang mendapat 9A merudum dari 40 orang pada tahun 2007 kepada cuma 26 orang pada tahun ini. Dari 313 orang calon yang menduduki PMR, pecahan mengikut bilangan A yang diperoleh adalah seperti berikut:-




9A – 26 orang
8A – 32 orang
7A – 40 orang
6A – 42 orang
5A – 44 orang
4A – 32 orang
3A – 37 orang
2A – 23 orang
1A – 26 orang
tiada A – 11 orang


Mengikut perkhabaran di Maahad Muhammadi Perempuan, Kota Bharu, bilangan pelajar yang mendapat 9A adalah seramai 75 orang, jauh lebih baik berbanding counterpart nya.




Walau apa pun
tahniah kepada Abae Sham
kerana berjaya memperoleh kejayaan cemerlang 10 A (1 A lagi Abah yang tambah). Keep up the good work. Semoga kecemerlangan seperti ini berterusan dalam hidup di dunia dan akhirat nanti.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua guru-guru yang telah mengajar Hisham secara langsung atau tidak langsung dari pra sekolah, sekolah rendah sehingga kini, budi tuan-puan hanya Allah swt yang dapat membalas.

28 Dec 2008

Buatae Kelatae


X'Mas

Isa Ibn Maryam

25 Disember adalah Hari Natal/Krismas yang disambut oleh penganut Kristian di seluruh dunia. Ia adalah kononnya sebagai menyambut kelahiran Jesus Christ, tokoh utama dalam agama Kristian, dipercayai oleh penganutnya sebagai anak tuhan.

Mengikut The Oxford World Encyclopedia :

Christmas

An annual Christian festival celebrating the birth of Jesus Christ. The date of Jesus' birth is unknown, but tradition celebrates Christmas Day on 25 December, a date first recorded in ad 336. The importance of Christmas in the Christian year varies regionally: in the Eastern Orthodox Church, Epiphany is considered to be more important, whereas most Western Churches exalt Easter.

Jesus Christ (c.6 bc–c.30 ad)

The central figure of Christianity, believed by his followers to be the Son of God, of one essence with God the Father and God the Holy Spirit (the doctrine of the Trinity). The Gospels of the New Testament are the main sources of information about Jesus. According to them, Jesus was born at Bethlehem to Mary, by tradition a virgin, in the reign of Augustus Caesar. He was brought up at Nazareth in Galilee and received a traditional Jewish education.

Al-Quran menceritakan kelahiran Nabi Isa a.s. di dalam Surah Maryam, Ayat 16 - 35

Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab Al-Quran ini perihal Maryam, ketika dia memencilkan diri dari keluarganya di sebuah tempat sebelah timur. (16)

Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka maka Kami hantarkan kepadanya: Roh dari kami lalu dia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya. (17)

Maryam berkata: Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertakwa. (18)

Dia berkata: Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk menyebabkanmu dikurniakan seorang anak yang suci. (19)

Maryam bertanya (dengan cemas): Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun dan aku pula bukan perempuan jahat? (20)

Dia menjawab: Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman: Hal itu mudah bagiKu dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya. (21)

Maka Maryam hamillah mengandungnya, lalu dia memencilkan diri dengan kandungannya itu ke sebuah tempat yang jauh. (22)

(Ketika dia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang! (23)

Lalu dia diseru dari sebelah bawahnya: Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai. (24)


Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak. (25)

Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan. Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman; (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini. (26)

Kemudian baliklah dia kepada kaumnya dengan mendokong anaknya mereka pun menempelaknya dengan berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara yang besar salahnya! (27)

Wahai saudara perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat! (28)

Maka Maryam segera menunjuk kepada anaknya. Mereka berkata (dengan hairannya): Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih kanak-kanak dalam buaian? (29)

Dia menjawab: Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Dia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil) dan Dia telah menjadikan daku seorang Nabi. (30)

Dan Dia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup. (31)

Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku dan Dia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka. (32)

Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat). (33)

Yang demikian sifat-sifatnya itulah Isa Ibni Maryam. Keterangan yang tersebut ialah keterangan yang sebenar-benarnya, yang mereka ragu-ragu dan berselisihan padanya. (34)

Tiadalah layak bagi Allah mempunyai anak. Maha Sucilah Dia. Apabila menetapkan jadinya sesuatu perkara, maka hanyalah Dia berfirman kepadanya: Jadilah engkau, lalu menjadilah ia. (35)

Semoga kita semua tahu apa yang kita lakukan sebagai seorang Islam, yang percaya dan beriman dengan Al-Quran, jangan mudah menjadi pak turut. Datang saja musim Krismas, pakai baju merah, makan ayam belanda, bertukar hadiah, pasang pokok krismas, minum dan minum dan minum ....

18 Dec 2008

Gurindam Tok Guru

Gurindam Tok Guru

Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengemukakan gurindam untuk bakal pengundi dalam Parlimen Kuala Terengganu sebagai panduan sebelum mengundi.

Gurindam itu berbunyi:

Nak beri rasuah salah,
tak beri rasuah kalah,
akhirnya jadi serba salah,
kerana itu jom pakat undi PAS.

Sebelum ini beliau pernah mengemukakan gurindam politiknya untuk dimanfaatkan oleh rakyat Kelantan sebelum pilihan raya umum 1990 yang masyur sehingga kini.

Gurindam berkenaan berbunyi:

Beri duit ambil,
beri kain pakai,
beri gula kacau,
bila mengundi pangkah bulan.


Untuk Orang Kuala Terengganu : 'Jangang ikuk ere sangak ke AMNO tu'

dari : http://www.harakahdaily.net/

14 Dec 2008

Sudu Senor



Sudu Senor

Sudu-sudu senor
Mok mu tido lagu mana??

Ayat-ayat ini selalu dialunkan setiap kali menangkap serangga yang unik ini semasa kecil-kecil dulu. Biasanya entah bagaimana, sang sudu seno akan memberi reaksi terhadap alunan ini. Kaki hadapan yang panjang itu dibengkokkan lalu kepala digerak-gerakkan ke kiri dan kanan. Satu bentuk hiburan zaman dahulu sebelum wujudnya internet atau PS.

Sudu Senor juga pernah di popularkan oleh adik Abae Zu dulu sebagai nick IRC nya semasa dia menuntut di Hull, UK dahulu.

Sudu seno atau mentadak mentadu adalah sejenis serangga karnivor yang tergolong dalam keluarga Mantidae. Biasanya berwarna HIJAU (orae kito), tapi boleh didapati juga dalam berbagai warna. Saiznya pula ada yang besar dan ada yang kecil bergantung kepada spesisnya.

Sudu seno adalah serangga yang sangat ‘cool’. Sekiranya kita berpeluang memerhatikannya, ia tidak bergopoh-gapah, walau pun dalam menangkap mangsanya. Dengan kedua-dua kaki hadapan yang mempunyai duri-duri yang tajam diangkat dan menunggu dalam keadaan tidak bergerak sedikit pun, sudu seno akan menunggu mangsa yang lalu. Disebabkan warnanya yang seakan-akan persekitaran ia dapat melakukan penyamaran dengan baik. Apabila mangsa berada dekat dengannya, dengan serta merta ia menujah kaki hadapannya yang sangat kuat itu dan menangkapnya, lalu mengigit dan terus menelannya.

Selepas ini sekiranya terjumpa dengan sudu senor, jangan apa-apakan nya. Selain dari ‘cool’, cantik, orae kito, ia boleh dijadikan sebagai pest control semula jadi.


13 Dec 2008

Daging Musir

Daging Musir

Selamat Hari Raya Aidil Adha/Haji/Korban/Gerbae kepada semua. Walau pun ia tidak semeriah Hari Raya Puasa tetapi terasa juga kemeriahannya di Kelantan. Orae Kelatae cuti 2 hari, 8 dan 9 Disember. Hari Raya ini dikaitkan dengan ibadah Haji dan juga ibadah Qurban iaitu penyembelihan binatang ternakan seperti lembu, kambing, biri-biri atau unta. Hukum berqurban adalah sunat muakkadah, sunat yang sangat-sangat dituntut. Sepatutnya setiap keluarga yang berkemampuan melakukan qurban. Harga sebahagian lembu adalah diantara RM280.00 - RM350.00, bergantung kepada saiz lembu. Jika dibandingkan dengan harga rokok atau bil prepaid telefon, tidak seharusnya kita berkira untuk berqurban.

Acara gerbae bermula apabila semua peserta akan berkumpul untuk melakukan akad jual beli. " Ambo beli sebahagian dari tujuh bahagian". Serta niat qurban, "sahaja aku berkorban untuk diri dan keluarga ku pada tahun ini kerana Allah taala." Setiap ekor lembu dibahagikan kepada tujuh sahaja, tidak lebih atau kurang.
Agenda kedua adalah perebah lembu, dimana lembu dijerat kaki untuk dijatuhkan, ini memerlukan kepakaran dan akan hanya dilakukan oleh ahli-ahli yang berpengalaman, yang lain cuma tolong tarik tali saja. Setelah lembu jatuh, keempat-empat kakinya di ikatkan lalu lembu itu dipusingkan kearah qiblat.

Seterusnya semua peserta akan memberi 'wakil' kepada tukae jembelih (tukang sembelih) untuk menyembelih lembu tersebut. Semasa pisau berada di leher lembu semua orang akan bertakbir dan seterusnya pisau yang tajam dilalukan ke leher lembu sehingga putus urat semerih nya. Ikatan kaki dileraikan supaya lembu boleh 'tendae ssaka' (tendang pusaka) iaitu meronta. Untuk menentukan nyawa pada lembu tersebut sudah tiada lagi, kuku kakinya akan diketuk dengan hulu pisau, sekiranya tiada reaksi bermakna ia sudah mati. Selepas itu sahaja semua yang terlibat akan ssiang lembu sehingga tamat, dan dibahagikan kepada semua peserta.
Diantara bahagian yang menjadi favourite adalah daging musir (dalam dan luar), perut muda, batu dan daging cinonok. Bagi siapa yang tidak pernah berqurban, cuba lah Hari Raya Haji tahun depan sekiranya umur panjang. Seronok!

Sebenarnya musir
adalah perkataan dari 'muscle' yang telah di Kelantanized. Daging musir adalah daging batang pinang (sirloin), bahagian daging yang paling lembut.
musir : muscle > a band or bundle of fibrous tissue in a human or animal body that has the ability to contract, producing movement in or maintaining the position of parts of the body: the calf muscle : the sheet of muscle between the abdomen and chest.





Appropriate dress code for gerbae, seluar pendek, t-shirt and a kopiah

12 Oct 2008

Buah Pisæ

Buah Pisæ

Pisæ (PISANG) adalah sejenis tumbuhan sentiasa berherba (tidak berkayu), yang mempunyai daun besar, dan boleh mencapai ketinggian sehingga 10m (33 kaki). Ia dari genus Musa, keluarga Musaceae. Pisæ pada mulanya adalah sejenis tumbuhan liar di Asia Tenggara ia itu dari spesis Musa acuminata dan M. balbisiana, kini berjaya dikomersialkan terutamanya M. sapientum. Ia kini ditanam di kebanyakan kawasan tropika, terutamanya di kawasan tanah rendah yang lembap.

Pisæ adalah buahan tropika yang paling banyak dimakan, dengan keluaran tahunan lebih kurang 35,000,000 tan dengan Amerika Latin dan West Indes sebagai pengeksport utama ke Amerika Utara dan Eropah. Pisæ mempunyai 1,001 khasiat, kaya dengan pelbagai vitamin.

Terdapat berbagai jenis pisæ yang dikenali dengan berbagai nama di Malaysia. Di Kelatæ ada pisæ gerasa, ggala, jela berangan, jela bunga, kapas, kebatu, kelat jambi, kelat keling, kelat lega, lemok manih, nakoe (nangka), tanduk dan lain-lain.

Banyak cara kita makan pisæ. Ia boleh direbus, goreng, bakar dan dan di buat berbagai juadah seperti pengat, lepat, kkoleh, sira serta jjeput (jemput-jemput). Disamping itu juga pisæ dan juga bunganya (jantung) boleh dibuat lauk pauk untuk di makan bersama nasi.

Pada asasnya, semua pisæ boleh dimakan, bagaimanapun ada berapa jenis pisæ yang tidak dimakan seperti pisæ ggala dan pisæ hutan kerana terlalu banyak biji. Ada pisæ yang dimakan mentah dan ada juga tidak boleh dimakan mentah.

Pisæ boleh membekalkan tenaga. Pisæ mengandungi asid, enzim, dan sebatian kimia penting. Ia juga mengandungi tiga jenis gula semula jadi iaitu sukrosa, fruktosa dan glukosa. Gula semula jadi ini amat penting untuk kanak-kanak yang sedang membesar. Pada zaman dahulu sebelum baby’s food diperkenalkan ibu-ibu memberi makan pisæ lecek sebagai makanan tambahan kepada anak mereka. Makæ pisæ boleh sihatkan badan. Ia memberikan banyak khasiat kepada tubuh badan kerana secara keseluruhannya ia mengandungi tenaga, vitamin A, serat, vitamin C dan Kalsium.

2 biji pisæ emas mengandungi

100 kalori
73gram (g) air
1.4g protein
23 g karbohidrat
1.7 g serat
380 mikro gram (mg)
karoten (pre vitamin A)
63 RE vitamin A
8.3 mg vitamin C
342 mg kalium

Khasiat nya pula pisæ mengandungi magnesium, fosforus, iodine, kuprum, vitamin B1, B2, B6 & C, niasin, dan folat.

Kegunaan pisæ adalah berbagai. Daun, batang, buah, bunga pisæ boleh dibuat macæ-macæ.

  • Alas makanan kerana menghasilkan bau yang harum apabila terkena makanan yang panas. (makæ di Curry House).
  • Bukus (balut) kuih atau masakan seperti ikan bakar atau kuih lepat.
  • Buat rakit.
  • Urat (gentian) boleh diproses buat tali dan bahan seumpamanya seperti guni.
  • Makan masak atau diambil semasa muda untuk dimasak sebagai lauk, digoreng, dibuat sira, dibuat pengat, dan dijadikan kerepek.
  • Jantung pisæ dibuat sebagai ulam selepas dicelur.


Sira Pisæ

Bahan-Bahan : pisæ (nangka , kebatu dll), gula kastor, bunga cengkih, kulit kayu manis dan pewarna kuning.

Cara membuat: Masakkan gula di atas api yang perlahan sehingga warna bertukar menjadi kekuning-kuningan. Sesudah itu masukkan bunga cengkih, kulit kayu manis, pewarna kuning dan pisæ. Biarkan pisæ itu sebati dan boleh dihidangkan.


Pengat Pisæ

Bahan-Bahan: pisæ (nangka, kebatu dll) dipotong, santan dari sebiji kelapa, gula kabung, daun pandan dan sedikit gula pasir.

Cara membuat: Masukkan santan ke dalam periuk kemudian masukkan gula kabung dan daun pandan. Masukkan pisæ setelah santan mendidih. Untuk perisa tambahan, masukkan gula dan sedikit garam.


Jjeput Pisæ

Bahan-Bahan: gula, tepung gandum (diayak), pisæ kapas, sedikit garam, baking powder dan minyak untuk menggoreng.

Cara membuat : Kupas pisæ, lecek dalam mangkuk. Campurkan gula, tepung gandum dan kacau rata-rata. Panaskan anggaran 1/2 kuali minyak. Letakkan sehelai kertas serap minyak & bentangkan diatas pinggan. Cedok adunan dengan sudu basah & masukkan ke dalam minyak yang panas dengan menggunakan sudu basah yang lain untuk membulatnya. Goreng hingga kuning, sambil membalik-baliknya perlahan-lahan dengan belakang sudip berlubang. (Ini menjadikan kuih itu berbentuk bulat). Toskan hingga kering & hidangkan dalam pinggan kuih.


Acar Putik Pisæ Ggala

Bahan-Bahan: pisæ ggala putik, lada kering, halia, bawang putih, bawang merah, bawang besar, 1 cawan santan, minyak, cuka, garam dan gula secukup rasa.

Cara membuat: Pisæ dibuang kulit hitamnya kemudian dikelar-kelar melintang, halus-halus dan direndam dalam air garam. (Semasa merendam ramas-ramaslah pisæ itu supaya keluar rasa kelatnya. Rendamlah lebih kurang 15 minit). Lada kering , bawang merah, bawang putih dan halia ditumbuk lumat. Panaskan periuk, tuang minyak untuk menumis.Bila minyak panas, tumiskan bahan-bahan yang ditumbuk. Bila naik bau tuangkan santan, kemudian masukkan cuka, gula dan garam sebagai perasa. Pisæ yang telah dibersihkan, ditoskan. Bila kuahnya sudah elok mendidih dan naik minyak di atasnya, masukkan putik pisæ tadi, biar sekejap kemudian angkat dan hidangkan.


Gulai Putik Pisæ

Bahan-Bahan: putik pisæ , minyak, ikan bilis, santan pekat , air, cili padi dan kunyit hidup.

Cara membuat : Cili padi dan kunyit hidup dikisar lumat. Pisæ muda dibersihkan dan dipotong dua, rendam bersama air, garam dan asam. Tumis bahan kisaran dan ikan bilis. Masukkan pisæ muda dan sedikit air (reneh). Masukkan santan pekat dan air didihkan dengan api yang perlahan rasa garam secukup rasa.


Teresek Jantung Pisæ

Bahan-bahan: Keropeh ayam (tengkuk,kaki,kepak, pedal, jantung atau hati), jantung pisæ, 2 cawan santan pekat, kerisek, cili merah dan hijau, garam, gula atau nnisæ, asam jawa atau asam gelugor, rempah kari daging timbang. (Boleh beli di Pasar Siti Khadijah).

Bahan kisar : Bawang merah, bawang putih, halia, lengkuas dan sedikit cili kering.

Cara membuat: Keropeh ayam dipotong kecil, jantung pisæ dihiris-hiris halus direndam dalam air berisi garam kasar lebih kurang 1 - 1½ jam, lepas tu tapis, dan perah untuk buang kelatnya. Tumis bahan kisar hingga wangi. Lepas itu masukkan rempah kari, biarkan agak wangi baru masukkan potongan keropeh ayam tadi. Biarkan ayam masak sebati dengan kari tadi. Masukkan jantung pisæ, bila jantung sudah agak lembut , masukkan kerisek, garam dan sedikit gula/nisæ. Kacau dan biarkan sehingga kuah agak pekat. Masukkan cili potong, air asam jawa dan rasakan masin dan masamnya (sedikit rasa masam aja), biarkan masak sekejap.