29 Dec 2011

Cuti Panjang Dalam Bulan November 2012 Di Kelantan

Cuti Panjang Dalam Bulan November 2012 Di Kelantan

Penduduk di Kelantan khasnya dan di Malaysia secara umumnya menikmati berbilang cuti dan perayaan sepanjang tahun. Ada di antaranya cuti yang diwartakan diperingkat persekutuan dan ada diperingkat negeri

Cuti yang dinikmati oleh pekerja-pekerja awam dan swasta secara keseluruhannya di Kelantan adalah Hari Kebangsaan (31 Ogos), Hari Malaysia (16 September), Hari Pekerja (1 Mei), Hari Keputeraan KDYMM SPBY Di Pertuan Agong (Sabtu Pertama Bulan Jun) dan Hari Keputeraan KDYMM Al-Sultan Kelantan (10 & 11 November), manakala di tempat lain berbeza mengikut negeri masing-masing.

Mengikut Akta Kerja 1955, setiap pekerja (swasta) berhak mendapat 10 hari cuti kelepasan am bagi setiap tahun kalendar yang dipilih daripada semua cuti kelepasan am yang diwartakan untuk tahun itu dan 10 hari yang tersebut mestilah termasuk lima hari yang berkenaan.

Cuti-cuti mengikut agama dan perayaan pula adalah berubah-ubah bagi setiap tahun mengikut agama dan kepercayaan masing-masing. Di Kelantan orang-orang Islam menikmati cuti Awal Muharram, Hari Maulud, Hari Nuzul Al-Quran, Hari Raya Aidil Fitri (2 hari) dan Hari Raya Aidil Adha (2 hari). Penetapan cuti-cuti tersebut adalah mengikut kalender Hijrah.

Masyarakat Cina menyambut tahun baharu Cina (biasanya hujung Januari – awal Februari) dan hari Vesak (awal Mei). Kaum Hindu menyambut Deepavali mengikut kalender lunisolar India (15 Oktober – 15 November). Penganut Kristian pula menyambut Hari Krismas pada 25 Disember setiap tahun.

Ada juga hari-hari perayaan yang diberikan cuti oleh negeri-negeri lain tetapi tidak di Kelantan seperti Tahun Baru Masehi, Thaipusam, Good Friday, Hari Keamataan, Hari Gawai Dayak, Isra’ & Mi’raj serta Awal Ramadan.

Selain itu di negeri-negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu cuti hujung minggu adalah pada hari Jumaat dan Sabtu, manakala negeri-negeri selebihnya pula pada hari Sabtu dan Ahad.

Satu keadaan yang menarik dan unik akan berlaku di Kelantan pada minggu kedua bulan November 2012 nanti adalah dimana didalam tempoh 9 hari bermula 9 November (Jumaat) sehingga 17 November (Sabtu), pekerja-pekerja akan menikmati 8 hari cuti dan hanya 1 hari bekerja. Ini melibatkan cuti Hari Keputeraan KDYMM Al-Sultan Kelantan (10 & 11 November, diganti kepada 11 & 12 November), Hari Deepavali (13 November), Awal Muharram (15 November) manakala 9,10, 16 & 17 November adalah cuti hujung minggu. Pekerja hanya perlu bekerja pada 14 November sahaja.


Oleh itu bagi semua pekerja-pekerja di Kelantan yang ingin cuti makan angin panjang boleh lah membuat perancangan dari sekarang untuk mendapatkan tiket-tiket murah dan menempah hotel atau tempat penginapan. Selamat Bercuti Panjang.

jadual cuti 2012

Statutory Holiday

akta hari kelepasan 1951