30 May 2014

Petik Sawa

Petik Sawa

Umi          : Kenapa baju Sham kotor?
Sham        : Mana ada kotor..Sham baru je basuh baju tu
Umi          : Tu yang hitam hitam tu apa?
Sham        : Oh..tu PETIK SAWA..basuh banyak kali pun tak hilang

Banyak baju yang masih elok tetapi tidak dipakai disebabkan oleh bintik-bintik hitam halus yang ada padanya. Ia dikenali sebagai tahi lalat. Bintik bintik hitam ini orang Kelantan panggil ppetik (petik) sawa. Dalam bahasa Kelantan ppetik merujuk kepada keadaan berbintik-bintik, manakala sawa pula dirujuk kepada buah ciku (sawa nila). Oleh itu bintik bintik hitam pada kain dan pakaian yang kelihatan seperti pada buah ciku dipanggil ppetik sawa.

Petik sawa pada baju biasanya disebabkan oleh kulapuk yang tumbuh akibat titik titik peluh dan bakteria. Petik sawa akan muncul jika kita mengumpul baju yang penuh dengan peluh, terutamanya selepas bersenaman, tetapi tidak dicuci dengan segera. Ataupun semasa kita merendam baju dengan air yang sedikit, kemudian menunda-nunda untuk membilasnya sehingga sampai beberapa hari maka kemungkinan besar baju akan ppetik sawa.

Kulapuk boleh tumbuh pada pakaian dan kain dan meninggalkan petik sawa jika terdapat terlalu banyak lembapan dalam atmosfera rumah kami. Pakaian yang diperbuat daripada kapas atau bahan organik yang lain memberikan sumber makanan yang cukup baik kepada kulapuk dan cendawan untuk hidup.

Spora kulapuk yang wujud secara semula jadi dalam persekitaran tempat tinggal kita, akan melekat dan tumbuh di mana-mana tempat yang keadaannya sesuai untuk mereka. Kulapuk berkembang bukan sahaja pada kain lembap yang dibiarkan tetapi juga boleh tumbuh di permukaan apa-apa jenis bahan seperti buku, kasut, beg, langsir, permaidani, tilam, perabot kayu, jubin bilik mandi, dinding dan siling.

Gentian asli adalah sangat terdedah kepada serangan mikrob kerana mereka senang dihadam oleh bakteria dan kulat. Namun begitu gentian sintetik pula tidak juga benar-benar kebal, kerana ia mengandungi bahan tambahan, yang boleh menjadi nutrien bagi mikrob mikrob itu. Bulu adalah lebih cenderung untuk diserang oleh bakteria berbanding kapas manakala kapas adalah lebih cenderung untuk diserang oleh fungi berbanding bulu.

Ppetik sawa (bintik hitam) yang terdapat pada pakaian adalah pengumpulan padat konidia (jasad pembiakan aseksual) yang dihasilkan oleh fungi.

Bakteria yang paling biasa tumbuh pada pakaian basah tetapi tidak dikeringkan adalah staphylococcus aurues, corynebacterium, escherichia coli, s. Epidermidis dan vulgaris proteus. Manakala jenis fungi yang akan merosakkan kain adalah aspergillus niger, a. Furnigatus, stacybotrys chartarum, curvularia lunota, dan juga beberapa spesis  cladosporium, penicillium dan alternaria.

Bau hapak yang tidak menyenangkan terbentuk, apabila antara lain, peluh manusia ditukarkan oleh bakteria ke bahan-bahan berbau busuk seperti aldehid, amina, ammonia, sulfida, merkaptan, aromatik, lactones dan asid lemak.

Semasa mencuci pakaian yang berpetik sawa itu, memberus ppetik sawa sahaja adalah tidak memadai. Kita perlu mengenakan clorox untuk mengeluarkan kesan petik sawa itu. Dalam hal itu kita perlu memastikan terlebih dahulu bahawa kain tersebut boleh menahan pelunturan (clorox). Sutera dan kain dari bulu tidak boleh boleh sesekali dikenakan bahan peluntur. Peluntur bukan klorin biasanya berkesan terhadap fabrik jenis lain. Pakain tersebut juga perlu dicuci dengan bahan pencuci yang baik.

Sekiranya pakaian itu tidak boleh dibasuh kita mesti membersihkannya secara dry clean. Sekerap mungkin, selepas membasuh secara normal, pakaian harus dibenarkan untuk kering secara semulajadi pada pancaran matahari. Oleh itu satu-satunya cara untuk mengelakkan ppetik sawa adalah untuk mengelakkan meletak pakaian yang telah dipakai dan terkena peluh atau yang masih basah di dalam almari.


No comments: