Mengatasi
Tekanan Perasaan Mengikut Cara Islam
Kita adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah,
namun kita masih tidak terlepas daripada menghadapi tekanan ketika bekerja.
Pelbagai tekanan yang dihadapi menyebabkan hati menjadi runsing dan semua kerja
tidak akan terlaksana.Tidak mustahil bagi individu yang berhadapan dengan
masalah ini akan terbawa-bawa ke rumah hingga anak-anak pula menjadi mangsa.
Namun, hati akan menjadi tenang sekiranya kita kembali kepada Allah. Apa jua
yang dilakukan mestilah berdasarkan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah disertai
dengan niat yang ikhlas semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah.
Tip
Mengurangkan Tekanan
Terdapat beberapa tip yang boleh diamalkan
bertujuan bagi mengurangkan tekanan kerja:-
Biasakan
Diri Berada Dalam Keadaan Berwuduk
Jiwa kita akan menjadi tenang jika membiasakan
diri mengambil wuduk sebelum melakukan pekerjaan. Kerja yang susah akan menjadi
senang dan mudah diselesaikan. Para pelajar misalnya, disarankan agar
membiasakan diri mengambil wuduk sebelum mengulang kaji pelajaran agar apa yang
dibaca akan mudah dingati.
Perbanyakkan
Membaca Al-Quran
Ganjaran yang besar akan diberikan Allah bagi
sesiapa yang membaca Al-Quran walaupun satu ayat. Waktu yang sesuai bagi kita
untuk membaca Al-Quran ialah selepas solat lima waktu dan waktu-waktu lain
seperti ketika berehat dan sebelum tidur. Oleh itu, jadikanlah Al-Quran sebagai
teman paling akrab pada sepanjang waktu.
Banyakkan
Solat Sunat
Sebagai makhluk paling mulia di sisi Allah, kita
disuruh membanyakkan amal ibadat kita sehari-hari. Antaranya, dengan mendirikan
solat sunat. Solat sunat hajat, solat sunat taubat, solat sunat tasbih adalah
antara pelbagai solat sunat yang terdapat dalam Islam. Kita bangun pada
sepertiga malam dan mendirikan solat-solat sunat tersebut agar beroleh
ketenangan dan kekuatan daripada Allah.
Selalu Berdoa
Kepada Allah
Allah telah berpesan iaitu jangan menyembah
selain daripada-Nya. Ini bererti kita disuruh berdoa hanya kepada Allah yang
Maha Esa dan dilakukan secara berterusan. Waktu-waktu mustajab berdoa adalah
pada malam Jumaat, tengah malam, pagi sebelum waktu Subuh, malam hari raya,
ketika waktu azan dan iqamah. Insya-Allah, Allah akan memakbulkan doa setiap
hamba-Nya yang benar-benar ikhlas. Namun, kita perlulah sedar bahawa sebarang
rezeki tidak akan datang bergolek sekiranya tanpa usaha yang
bersungguh-sungguh.Maka kita perlulah berusaha supaya mencapai sesuatu di
samping berdoa hanya kepada Allah yang Esa.
Bersangka
Baik Dengan Allah
Kita sebagai manusia biasanya tidak akan
terlepas daripada berhadapan dengan ujian dalam hidup. Semuanya itu adalah
ujian daripada Allah bertujuan menguji keimanan kita sebagai hamba-Nya. Oleh
itu, kita mestilah bersangka baik dengan Allah dan janganlah menyalahkan-Nya jika
terjadi sesuatu ke atas diri kita. Kita juga mesti percaya bahawa tentu ada
hikmah di sebalik kejadian itu.
Lakukan
Kegiatan Luar Seperti Bersukan
Orang ramai selalu berkata bahawa badan yang
cerdas akan membentuk otak yang cergas. Segala tekanan sewaktu bekerja akan
dilupakan apabila kita melakukan aktiviti-aktiviti luar yang dapat menyihatkan
tubuh badan seperti bersukan. Situasi akan menjadi lebih menggembirakan jika
kita meluangkan masa membawa keluarga pergi beriadah. Ikatan kekeluargaan juga
akan bertambah erat dan kukuh.
Amal Diet
Dengan Disiplin Yang Kuat
Pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak
seimbang juga merupakan salah satu faktor tekanan sewaktu bekerja. Oleh itu,
cara untuk mengurangkan tekanan adalah mengamalkan diet dengan disiplin yang
kuat. Diet yang tidak terkawal akan menyebabkan kegemukan dan menimbulkan
penyakit kronik yang lain seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing manis.
Menangis
Dengan Sepuas Hati
Tekanan yang dihadapi sekiranya melibatkan
individu yang lain dapat diredakan melalui luahan hati kita dengan menuliskan
rasa ketidakpuasan hati kita itu dalam sehelai kertas. Sikap cuba menyimpan
perasaan tersebut dalam hati boleh menyebabkan diri merana. "Luaran lain
hati lain" ada sesetengah individu apabila mereka mengalami sesuatu
tekanan, mereka seolah-olah tidak menunjukkan permasalahan mereka itu. Sebagai
contoh, mereka akan sentiasa gembira bila dilihat bersama rakan-rakan tetapi
dalam hatinya hanya Allah yang Maha Mengetahui. Maka dengan itulah, menangis
dilihat sebagai salah satu cara kita dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi
di tempat kerja.
Hargai Kebolehan
Diri Sendiri
Kita perlu mempunyai satu sikap yang dipanggil
yakin diri. Apabila kita mempunyai keyakinan diri, maka kita tidak akan
mempunyai masalah untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang disuruh oleh pihak
lain sewaktu bekerja. Kita yakin bahawa kita boleh melakukan kerja yang disuruh
dengan mudah dan tiada sebarang masalah yang dihadapi. Apa yang penting ialah,
kita mesti menghargai kebolehan diri sendiri dan memulakan hidup dengan lebih
ceria.
Cintai Diri
Sendiri
"Cintailah diri kamu sendiri sebelum kamu
mencintai diri orang lain". Jelas daripada maksud sepotong hadis ini, kita
dapat memahami bahawa kita perlu mencintai diri sendiri terlebih dahulu
berbanding orang lain. Diri kita yang selama ini masih pada tahap lama dalam
pekerjaan perlu dipertingkatkan dengan cara yang dinyatakan di atas. Kita perlu
memulakan kehidupan kita dengan ceria dan penuh dengan senyuman.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya, tekanan kerja bukanlah
satu bebanan yang sukar untuk diatasi. Dengan usaha yang gigih dan kesabaran
yang tinggi serta jalan penyelesaian yang jitu, bebanan yang kita alami
pastinya akan dapat diselesaikan dengan jayanya.
Sumber : 1klik
No comments:
Post a Comment