10 Feb 2012

Alik Naik, Alik Jatuh, Alik Ulu Alik Ilir

Alik Naik, Alik Jatuh, Alik Ulu Alik Ilir

Dipetik dari facebook.

“ Saya sendiripun sebenarnya IC 03, tapi dibesarkan di Pahang. Sapa lo ni kawe tok pehe makna alik naik, alik jatuh, alik ulu alik ilir. Kalu singgah tepi jale demo ghoyat gitu gak, kawe kelip pah kelip pah bengong tepi jale la we, tak tahu nak tuju mano.”

Terjemahan

Saya sendiri pun sebenarnya IC 03, tetapi dibesarkan di Pahang. Sampai sekarang saya tak faham makna alik naik, alik jatuh, alik ulu dan alik ilir. Jikalau berhenti di tepi jalan dan ada orang beritahu seperti itu, saya terkebil-kebil dan keliru di tepi jalan tak tahu ke mana hendak dituju.

Arah Mata Angin


Alik ulu, ilir , naik dan jatuh adalah merujuk kepada arah mata angin. Ini adalah kerana Orang Kelatae pada masa dulu tidak menggunakan arah mata angin sebagaimana sekarang iaitu utara, selatan, timur dan barat. Mereka sebaliknya menggunakan istilah ulu dan ilir (hulu & hilir) yang merujuk kepada arah aliran sungai dan nnaik dan jjatuh (naik & jatuh) yang merujuk kepada pergerakan matahari. Penggunaan arah ini hanya terpakai apabila di Kelantan kerana secara kebetulan Sungai Kelantan membelah bumi Kelantan dari Utara ke Selatan dan matahari sememangnya terbit dan tenggelam di timur dan barat.


Ilir
Utara
North (N)
0° / 360°
Nnaik
Timur
East (E)
90°
Ulu
Selatan
South (S)
180°
Jjatuh
Barat
West (W)
270°

Ilir Nnaik
Timur Laut
North East (NE)
45°
Ulu Nnaik
Tenggara
South East (SE)
135°
Ulu Jjatuh
Barat Daya
South West (SW)
225°
Ilir Jjatuh
Barat Laut
North East (NE)
315°

Mata angin adalah panduan yang digunakan untuk menentukan arah semasa memandu, mengemudi atau menggunakan kompas dan peta. Mata angin berpandukan kepada darjah (°) putaran dalam satu unit bulatan, langkah yang perlu dalam pengiraan navigasi dan digunakan dalam GPS (Global Positioning Satellite). Empat arah utama mengikut darjah pada kompas (arah putaran jam),

1.    Utara : North (N) : 0° / 360°
2.    Timur : East (E) : 90°
3.    Selatan : South (S) : 180°
4.    Barat : West (W) : 270°

Utara dan selatan menggambarkan kutub bumi, manakala Timur dan Barat menentukan arah putaran bumi. Matahari terbit (naik nnaik) di Timur dan tenggelam (jatuh jjatuh) di Barat.

Hulu dan hilir sungai adalah merujuk kepada pengerakan air sungai yang bergerak dari hulu ke hilir sungai. Aliran sungai bermula dari kawasan yang lebih tinggi di kawasan bukit dan berakhir di kawasan pantai. Kawasan tempat aliran sungai bermula disebut daerah hulu sungai, manakala tempat sungai berakhir disebut daerah hilir.

Diharap tiada lagi adik kakak yang sesat di Kelantan, disebabkan tak tahu yang mana alik ulu, alik ilir dan alik nnaik, alik jjatuh.


alik naik = sebelah timur
alik jatuh = sebelah barat
alik ulu = sebelah selatan
alik ilir = sebelah utara
ghoyat = beritahu
kelip pah kelip pah = terkebil-kebil
bengong  = keliru

No comments: