27 Jan 2012

Kulat Pusu a.k.a Cendawan Busut

Kulat Pusu 

Orang Kelatae panggil kulat, tapi orang luar panggil cendawan. Kulat/cendawan ada 2 jenis, yang boleh dimakan dan yang tidak boleh dimakan kerana beracun. Mengikut Wikipedia terdapat 1.5 juta spesis kulat di dunia dan Cuma 140 spesis sahaja yang tidak boleh dimakan.

Pergi sahaja ke Pasaraya-pasaraya terdapat bahagian yang menjual berbagai jenis kulat seperti tiram, abalone, eryngii, shitake, ‘straw’, ‘button’, ‘crab-meat’, telinga kera dan lain-lain lagi. Bagi orang yang tinggal di kampung kulat-kulat yang tumbuh meliar yang dapat dikutip untuk dimakan adalah seperti kulat peha ayam, kulat sisir, kulat susu kambing (susu pelanduk), kulat tiong dan kulat ddukung anak, yang semua ini biasa didapati pada musim hujan. Di musim kering pula, keenakan kulat padang, kulat minyak dan kulat jenereh boleh dinikmati.

Namun begitu tiada yang dapat menandingi keenakan kulat pusu. Kulat pusu (cendawan busut) [ kulat cendawan, pusu busut], nama saintifiknya adalah Termitomyces sp. Dari famili Lyophyllaceae. Ia tumbuh diseluruh Malaysia di rok-rok (belukar), kebun getah, kebun kelapa sawit, kebun-kebun dan kawasan yang tidak tercemar oleh racun serangga. Spesis yang biasa dikutip adalah Termitomyces Albuminosa.

Saiz topinya (pileus) adalah berdiameter ½ inci ke 3 inci, panjangnya pula adalah lebihkurang 1 kaki. Warnanya adalah putih kelabu atau kemerah-merahan, bergantung kepada tempat tanah dimana ianya tumbuh.

Kulat pusu tumbuh secara berkoloni di atas pusu anai-anai. Cara pembiakan atau penyebarannya adalah simbiosis obligat dengan anai-anai spesis Odontotermes spp. Anai-anai membiakkan kulat dengan cara menghadamkan kayu-kayu dengan pertolongan mikrob-mikrob yang berada dalam perut mereka, mencerna kayu-kayu dan membuangnya sebagai najis didalam pusu tempat mereka tinggal. Kulat pula memerlukan najis anai-anai untuk tumbuh, dimana miseliumnya tumbuh pada kayu-kayu yang telah dicerna oleh anai-anai itu. Anai-anai sebaliknya menggunakan bahan yang telah terkompos oleh kulat sebagi makanan. Inilah yang dikatakan hidup bersama sehidup semati.

Setakat ini kulat pusu masih belum dapat ditanam atau diusahakan secara komersial seperti kulat-kulat lain yang terdapat di supermarket. Sekiranya ada yang berjaya mendapatkan cara untuk menanamnya, berkemungkinan boleh menjadi seorang jutawan.

Kulat pusu akan tumbuh di tempat yang sama, sekiranya tempat itu tidak diganggu. Seperti di sekitar rumah Mami di Bunut Payong, semenjak tahun 60’an lagi, ia itu sebelum ada penempatan lagi kulat pusu telah tumbuh di situ. Namun apabila kawasan tempat ia biasa tumbuh diratakan, digali dan dicangkul untuk didirikan penempatan, kulat pusu akan beralih untuk tumbuh di tempat lain pula, tetapi disekitar itu juga. Setakat hingga kini diperhatikan tempat kulat pusu tumbuh sudah 4 kali berubah. Ini berlaku kerana pusu anai-anai juga telah beralih.

Sebab yang menjadikan kulat ini sangat istimewa dan ‘misteri’ adalah ia hanya akan muncul dalam keadaan yang mempunyai syarat tertentu dan istimewa sahaja. Mengikut pemerhatian orang-orang tua, keadaannya adalah pertama pada sebelah malamnya sebelum kulat tumbuh mesti ada hujan yang lebat turun. Kedua, hujan itu pula hendaklah berserta dengan kilat sabung menyabung. Akhir sekali sambaran kilat itu hendaklah dalam lingkungan 10 – 15 kaki dari pusu (busut) anai-anai. Sekiranya semua ketiga-tiga syarat diatas ditepati, maka disebelah paginya menonjol keluarlah kelompok kulat disekitar pusu tersebut.



Kulat pusu tidak hidup lama, jangkahayatnya mampu bertahan hanya 4 hari sahaja. Hari pertama topi kulat akan muncul dari tanah. Pada hari kedua ia tumbuh meninggi sehingga 5 – 6 inci dari atas permukaan bumi dan topinya sedikit membuka. Semasa hari kedua juga teksturnya sedikit kenyal dan keras. Pada hari ketiga topinya menjadi besar dan hampir kembang. Pada hari keempat topinya berkembang dengan penuh dan dalam keadaan ‘malo’. Oleh itu hari yang paling sesuai untuk mengutip kulat pusu adalah pada hari kedua. Acap kali juga kulat pusu di kawasan rumah kami tidak dikutip kerana tidak menyedari kemunculan pada hari pertama atau kedua, sedar-sedar ianya sudah malo (layu).

Malam hujan lebat dan sebelah siangnya yang panas terik selama 3 hari berturut-turut menandakan musim kulat pusu tiba. Pengecaman juga boleh dilakukan dengan munculnya banyak kkatu (kelekatu) pada waktu malamnya.

Mengutip kulat pusu ada caranya. Sekiranya tanah tempat tumbuhnya kulat-kulat ini lembut, kerja mengutipnya menjadi senang, dengan cara menarik perlahan-lahan hingga ke akarnya dan ia tidak patah. Sekiranya tanah itu keras, batang-batang kulat akan mudah patah semasa mencabutnya. Oleh itu bagi memudahkan penuaian, tanah yang keras itu hendaklah disiram air terlebih dahulu bagi melembutkannya.

Berhati-hati semasa mengutip kulat pusu kerana struktur morfologi dan warnanya hampir sama iaitu putih dengan spesies yang beracun seperti Macrolepiota spesis, Lepiota spesis dan Amanita spesies. Cara untuk mengelakkan salah faham ialah dengan mempastikan bahawa di bawah cendawan tersebut terdapat pusu anai-anai dan akar kulat pusu itu panjang dan sampai ke dalam sarang anai-anai tersebut.

Selepas kulat pusu dicabut, ianya dibersihkan dari tanah-tanah yang melekat tetapi tidak boleh dibasuh dengan menggunakan air kerana ini akan menyebabkan ia mudah rosak dan busuk. Kulat yang sudah dicabut batangnya tidak akan membesar tetapi topinya akan mengembang. Untuk memberi ketahanan kulat-kulat itu hendaklah disimpan dalam peti sejuk dan boleh tahan sehingga 7 hari.

.



Bagi yang tinggal di bandar atau kawasan perumahan, pengalaman untuk melihat kulat pusu tumbuh atau merasa pengalaman mengutipnya susah untuk diperoleh. Bagi merasa keenakannya kulat pusu boleh dibeli apabila tiba musimnya di pasar seperti Pasar Siti Khadijah, Pasar Wakaf Che Yeh, Pasar Gok Kapur dan kebanyakan pasar di Kelantan. Harga biasanya RM2.00 seikat (5 kuntum kulat)

Kulat pusu dimasak goreng kunyit sahaja pun sedap rasanya. Masak sayur pedas campur dengan cekak manis dan pucuk miding lagi sedap.

Sayur Pedas Kulat Pusu

Kulat Pusu
Daun Cekak Manis/ Pucuk Cermai
Pucuk Miding
Bawang Putih
Bawang Merah
Lada Hitam
Isi Ikan Panggang/ Ikan Bilis/ Udang Baring (Geragau)

Cara
  1. Tumbuk bawang putih, bawang merah dan lada hitam, kemudian panaskan dengan air secukupnya sehingga mendidih untuk kuah.
  2. Tambahkan Isi Ikan Panggang/ Ikan Bilis/ Udang Baring (Geragau).
  3. Apabila mendidih, masukkan kulat pusu, daun cekak manis dan pucuk miding yang telah dipotong
  4. Tambah garam dan gula secukup rasa. Bila sudah masak, bolehlah dihidangkan.
Malo – keadaan layu pada buah, bunga, kulat atau tumbuhan kerana terlalu matang





Krenat/ Khianat

Krenat

Perkataan krenat jika ‘di terjemah’ secara perkataan membawa maksud khianat dalam percakapan Bahasa Kelantan. Namun begitu ia juga boleh memberi pengertian yang lain apabila di gunakan dalam konteks yang berbeza.

Khianat

Mengikut Kamus Dewan perkataan khianat membawa maksud : perbuatan jahat yg (bertujuan) menganiaya atau mendatangkan kecelakaan pd orang lain, tipu daya, perbuatan belot atau tidak setia (kepada negeri, bangsa, dll)

  • berbuat khianat : orang yg berbuat khianat itu adalah orang yg sangat hina;
  • yang belot kepada negara: perbuatan khianat
  • orang khianat : orang yg melakukan (perbuatan) khianat;
  • berkhianat = berbuat khianat: hamba tidak akan berkhianat dan menderhaka kepada Negeri Kelantan
  • mengkhianati : berbuat khianat kepada, mencelakakan, memperdaya, membelot terhadap, tidak setia kepada: dgn memihak kepada musuh, kau telah mengkhianati negeri dan masyarakatmu
  • pengkhianatan perihal (perbuatan, tindak­tanduk, dsb) mengkhianati, perbuatan khianat: mensabotaj royalti minyak itu adalah suatu pengkhianatan oleh anasir-anasir jahat;
  • pengkhianat orang yang berbuat khianat, orang yg belot, orang yg tidak setia kepada negeri (ketua dll): pengkhianat itu harus dihukum dan dibuang negeri.

Dalam Bahasa Inggeris perbuatan khianat adalah sabotage, manakala pengkhianat pula dipanggil traitor.

he was a traitor to his country
dia pengkhianat kepada negaranya

the Party considered that he had turned traitor
Parti telah menganggap bahawa dia telah menjadi pengkhianat.

Krenat

Dalam percakapan bahasa Kelantan perkataan krenat boleh digunakan bagi menggantikan perkataan khianat, namun krenat juga membawa maksud yang agak berbeza apabila digunakan dalam ayat yang berbeza.

Abae Sham berehi krenat ko Adik Luth
Abang Sham suka menyakat Adik Luth
Abang Sham likes to tease Adik Luth

Cuba bayae ‘anok-beranok’ kito sediri buat krenat ko kito
Cuba bayangkan saudara mara kita sendiri yang mengkhianati kita
Just imigine when your own relatives betrayed you

Demo buat krenat ko pitih jah, duk isap rokok tak bereti
Kamu ni membazirkan duit saja, tak berhenti-henti hisap rokok
You are wasting money, continously burning cigarettes

PAS kata Pengerusi Badae Pehubungae UMNO Kelatae , Dato’ Stopa Mamat, hok juga Menteri Perdagangae Antara Bangso dae Industri krenat ko rakyat Kelatae dengae Sultan sebab tak sey ccaro isu Royalti Minyak Kelatae.
PAS menganggap Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebagai pengkhianat kepada rakyat Kelantan dan Sultan kerana enggan memperjuangkan isu Royalti Minyak untuk negeri Kelantan.
PAS considered Kelantan UMNO liaison chairman Datuk Mustapa Mohamed who is also Minister of International Trade and Industry as a traitor to the people of Kelantan and Sultan for refusing to champion the issue of oil royalty to the state of Kelantan.