28 Feb 2008

Bahaso Kelate

Bahaso Kelate
Bahasa Kelantan mungkin merupakan bahasa yang paling sukar untuk difahami diantara kebanyakkan dialek yang ada di Malaysia (tidak termasuk bahasa-bahasa ethnik Sarawak dan Sabah). Ianya juga agak susah untuk di eja dalam tulisan Rumi.
Satu lagi perkara yang perlu diambil tahu orang Kelantan tidak bercakap Bahasa Kelantan, tetapi mereka kkæcek Kelantan. Mereka juga tidak bercerita tentang sesuatu dalam Bahasa Kelantan tetapi mereka ghoyat cerita dalam Bahasa Kelantan.
Bahasa Kelantan mungkin tidak akan pupus dari segi penggunaannya dalam masa terdekat. Ini kerana kebanyakan dari 1.4 juta rakyatnya masih menggunakannya untuk percakapan harian samada di sekolah, tempat kerja, tempat perniagaan dan menjadi bahasa perantaraan untuk semua. Ia dituturkan oleh semua dan pengaruhnya melangkau sempadan Thailand, Perak, Terengganu dan Pahang. Anak-anak Kelantan di perantauan masih lagi menggunakan bahasa ini apabila bersama-sama mereka. Dan satu lagi perkara China Kelantan yang menjadi minoriti pun boleh "kaecek" Kelantan dengan fasih seperti orang Melayu juga. Itulah yang dikatakan Semangat Anok Kelate!
Apa yang agak merisaukan adalah penggunaan sesetengah perkataan yang unik untuk bahasa Kelantan telah ditinggalkan, dan generasi muda Kelantan sendiri sudah tidak faham akan maksud perkataan-perkataan itu. Salah satu tujuan blog ini diwujudkan adalah untuk memasukkan semula perkataan-perkataan yang unik untuk bahasa Kelantan itu dalam kitaran perbendaharaan kata agar ianya tidak menjadi pupus dan hanya wujud di dalam kamus sahaja. Seterusnya perkataan-perkataan ini dapat diselitkan dalam percakapan seharian.

Jika di amatkan pada keseluruhannya pengguna bahasa Kelantan berkecenderungan untuk menjadikan perkataan-perkataan nya pendek. Bahasa Melayu Kelantan akan cuba memadatkan perkataan yang mempunyai 3 suku kata menjadi perkataan-perkataan yang mempunyai hanya dua suku kata.


Belajar Bahasa Kelantan1.Bahasa kelantan tidak menggunakan imbuhan dihadapan sesuatu perkataan tetapi lebih kepada menggunakan sabdu.
contoh :-
kkuŕœ - kura-kura
ttinœ - betina
ddale - di dalam
kkedæ - ke kedai
nnaŕi - menari
ggocoh - bergocoh/bertinju
ssilat - bersilat
2.Terdapat setengah perkataan dimana sebutan vokalnya disebut melalui hidung
contoh :
abæ - abang
batæ - batang
dalæ - dalam
telæ - telan
malæ - malam
gunu - gunung
minu - minum
kapoe - kampong
3.Diftong seperti "ai" dan "au" ditenggelamkan dalam sebutan Bahasa Kelantan, dan ayat tidak dimatikan dihujungnya.
contoh :-
keda - kedai
paka - pakai
pisa - pisau
kuba - kerbau
pula - pulau
lima - limau
4.Perkataan yang mempunyai akhiran huruf "a" biasanya akan ditukar kepada "o".
contoh :-
limœ - lima
bilœ - bila
duœ - dua
tuœ - tua
pulœk - pulak
budœk - budak
diyœ - dia
ttinœ - betina
kkurœ - kura-kura
5.Perkataan yang berakhir dengan "an", "am", "ang" akan ditukarkan kepada "e" sahaja.
contoh :-
ayæ - ayam
sayæ - sayang
bayæ - bayam/bayang
lubæ - lubang
tulæ - tulang

6.Perkataan yang mempunyai huruf “r” biasanya disebut dengan sebutan “gh”/”ŕ” atau lebih tepat lagi huruf (ﻍ
)contoh :-
ŕima - harimau
meŕoh - merah
beŕo' - berok
baŕu - baharu

27 Feb 2008

Takrif Anak Kelantan

Pindahmilik Pesaka (Transmission) Mengikut Akta (Pembahagian) Pesaka Kecil, 1955 (Akta 98)

Sebagaimana kita sedia maklum bahawa dalam Akta (Pembahagian) Pesaka Kecil, 1955 tidak ada peruntukan khas yang menjamin atau memberi perlindungan dalam hal itu untuk Negeri Kelantan. Oleh kerana tidak ada peruntukan-peruntukan khas dalam Akta (Pembahagian) Pesaka Kecil, 1955 untuk menjaga kepentingan Sek.104 Enakmen Tanah Kelantan, 1938 dan Sek. 7(vi)(a) Enakmen Simpanan Tanah Bagi Anak-anak Melayu, 1930.

Peruntukan-peruntukan dibawah Sek. 104 dan 105 Enakmen Tanah Kelantan, 1938 (No. 26 tahun 1938) dan juga peruntukan dibawah Sek. 7(i) hingga 7(vi) Enakmen Simpanan Tanah Bagi Anak-anak Melayu 1930 (No. 18 tahun 1930) menerangkan bahawa :-

  1. Sek. 104 dan 105 Enakmen Tanah Kelantan, 1938, menegah tanah-tanah yang dimiliki oleh Anak-anak Kelantan (native of Kelantan) daripada dipindahmilik kepada orang-orang yang bukan Peranakan Kelantan dengan tidak terlebih dahulu mendapat kelulusan Raja dalam Mesyuarat.
  2. Sungguh pun begitu Sek. 7(i)(a) Enakmen Simpanan Tanah Bagi Anak-anak Melayu, 1930 pula membenarkan pindahmilik pesaka (Transmission) bagi tanah-tanah yang dimiliki oleh orang-orang yang bukan Melayu kepada orang-orang yang bukan Melayu yang lain yang terdiri dari anak-anaknya yang sebenar (natural heirs), suami atau isteri (spouse), ibubapa, adik beradik atau dalam hal seorang kanak-kanak yang belum cukup umur kepada Penjaga/Pemegang Amanah atau kepada seorang Pentadbir yang dilantik, megikut mana-mana yang berkenaan.
  3. Mengikut sek. 13(5) Akta (Pembahagian) Pesaka Kecil, 1955 PHT selaku Hakim Pesaka, boleh membuat perintah, jika berpuashati, supaya tanah-tanah yang telah dijual oleh simati, dipindahmilik kepada seorang pembeli yang sebenar (purchaser). Sek.2 Akta (Pembahagian) Pesaka Kecil, 1955 mentakrifkan ‘pembeli yang sebenar’ (purchaser) dan juga diterangkan dalam Pekeliling Ketua Pengarah Tanah dan galian Persekutuan Bilangan 9/1975 bagaimana salinan berkembar.
  4. Kuasa-kuasa dibawah Sek. 13 dan 15 Akta (Pembahagian) Pesaka Kecil, 1955 ini nampaknya tidak ada apa-apa sekatan atau pengecualian, tentang siapa yang akan menerima pindahmilik pesaka bagi tanah itu, pada hal sek. 104 Enakmen Tanah Kelantan, 1938 dan Sek. 7(vi)(a) Enakmen Simpanan Tanah Bagi Anaka-anak Melayu, 1930 menyekat pindahmilik dibawah Akta (Pembahagian) Pesaka Kecil 1955.
Takrif Anak Kelantan

  1. Seseorang yang dilahirkan di Kelantan, bapanya seorang Melayu;
  2. Seseorang yang dilahirkan di Kelantan, ibunya seorang Melayu dan bapanya seorang Islam;
  3. Seseorang yang dilahirkan di mana-mana, yang mana bapanya seorang Melayu yang dilahirkan di Kelantan;
  4. Seseorang yang dilahirkan di mana-mana jua tetapi ibubapanya orang Melayu dan telah bermastautin di Kelantan sekurang-kurang 15 tahun;
  5. Seseorang yang dilahirkan di Kelantan dan bapanya juga dilahirkan di Kelantan.

25 Feb 2008

Renungan Pagi Jumaat Oleh Tuan Guru


Renungan Pagi Jumaat

UMNO ibarat layang-layang putus tali,
Nampak bebas ke atas ke bawah dan kiri ke kanan,
Akhirnya layang-layang itu akan jatuh ke sungai atau
merempuh pokok dan musnah.

PAS mempunyai tali yang terikat dengan Allah,
Talinya ialah tali taqwa.
Ia nampak seperti tidak bebas, tetapi ia tetap selamat.

Dengan ikatan itu, ia dinaikkan di awal petang dan di tarik turun di awal pagi,
Ia disimpan dan dinaikkan semula dengan selamat sampai bila-bila.

Demikianlah PAS berbanding UMNO/BN

Satu parti yang tidak bertunjang, tidak berpancang dan tidak bertali.

Inilah parti kebangsaan yang sama-sama kita hadapi dalam Pilihanraya Umum (PRU) kali ini.

Pilihlah dengan cermat demi keselamatan dunia dan akhirat.

Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am Parti Islam SeMalaysia (PAS)


Syair Rasulullah Semasa Perang Khandaq


Kami golongan yang berbai’kan Muhammad di atas agama Islam selama kami hidup


Allahumma, tiada kebaikan kecuali kebaikan Akhirah, maka Engkau berkatilah Ansar dan Muhajirin
Demi Allah, sekira bukan kerana Allah kami tiada mendapat hidayah, tiada kami bersedekah, tiada kami sembahyang


maka turunkan Sakinah (Ketenangan) keatas kami dan tetapkan kaki-kaki apabila berdepan lawan

Sesungguhnya musuh telah melampaui ke atas kami, sekiranya mereka mahukan fitnah kami akan lawan

kami akan lawan .........kami akan lawan
Kami tuturkan syair-syair yang pernah ditutur oleh bibir mulia Rasulullah SAW dan para Sahabat RA, ketika mereka diserang oleh pakatan musyrikin yang diketahui oleh tentera Quraisy dan dikhianati oleh Yahudi di dalam perang Khandaq. Dalam suasana musim dingin dan kekurangan makanan, lahirlah syair sebegini, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhaari RH.

21 Feb 2008

Sepotong Kisah Sepanjang Kasih

Ini adalah sajak yang saya petik dari buku sahabat baik ambo, En Abdul Hadi Yusoff, penggiat puisi tersohor Kelantan. Nikmatilah.

Sepotong Kisah Sepanjang Kasih

i
Pantai Timur ini matahari sama hangatnya
Di Barat Semenanjung dan membebas sulur
junjung di batas-batas kebun
bagai membalas tutur langkah di bibir

Begitu di puncak tingkah rebana ubi
anak generasi Wan Kembang ini
bermain kertuk dan tidak tersisih tradisi
meski lenggok dan nyanyian busur Tok Ngah Seman
wan bulan tak pernah sampai ke bulan

Cantik buah selambut bak mata kucing
kakak dan adik-adik bermain
congkak – bijak menghitung untung,
bedekcak, gelek rim
di sisi si abang berpencak silat
sebelum petang pulang
tarik upih pinang
lasak bersama kawan-kawan
mencari sepilai menahan jebak
tak kenal makna lepak

ii

Silakan tetamu lihat di sini puncak
Bukit Marak ruang persinggahan
Puteri Saadong mencari jejak Raja Abdullah
kasihnya semarak ke Bukit Panau
seketika bersama kijang emas jelita
sekarang menjadi lambang sebuah negeri

Dan di banjaran gunung, hutan dara,
asyik tasiknya di pulau-pulau
flora dan fauna di pesisir pantai segara
sejernih saujana alam kurniaan
Yang Maha Kuasa
menentukan gerak segala-galanya

iii

Pantai Timur bukan sebarang makmur
tukang karut – tuk juara atau pendikir laba
cukuplah untungnya meski tidak tercatat
dalam belanjawan negara
namun tersohor di pelupuk peta budaya

Ada yang mahir bergilir memangkah gasing
semuanya dapat mematangkan fikiran
pekerja atau pelabur asing
di sini tidak lagi menjadi asing

iv

Dan senyum sokmo Cik Mek Molek
sepenawar dahaga di pasar Siti Khadijah
bergilir tiba tamu bertandang
atau ke jalan Pantai Cahaya Bulan
melihat ibu menenun selendang sutera
menganyam tikar mengkuang
hamparan berzaman
lalu menukar ringgitnya dengan batik,
perak dan songket

v

Sudah terjulang rehal dan Al-Qur’an
taburan benih tilawah kesucian iman
moga cambah hidayah memaklumi
di Tanah Serendah ini Sekebun Bunga
sepotong kisah ini sepanjang kasih.

1995
Petikan dari Kumpulan Puisi Dalam Diam
oleh Abdul Hadi Yusoff

Asal Usul Bahasa Melayu

Asal Usul Bahasa Melayu

Asal usul perkataan Melayu masih belum dapat disahkan oleh sejarawan. Bagaimanapun terdapat beberapa bukti sejarah yang cuba mengaitkan asal-usul bahasa Melayu. Salah satunya adalah, catatan orang China yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yeu mempersembahkan hasil bumi kepada raja China sekitar 644-645 Masihi. Dikatakan orang Mo-lo-yeu mengirimkan Utusan ke negara China untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi kepada raja China. Dipercayai kerajaan Mo-lo-yeu berpusat di daerah Jambi, Sumatera, nama nya daripada sebatang sungai yang deras alirannya, iaitu Sungai Melayu.

Satu lagi catatan orang China ialah catatan rahib Buddha bernama I-Tsing yang menggunakan kata ma-lo-yu tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar 675 Masihi. Dalam bahasa Jawa Kuno, perkataan ``Mlayu'' bermaksud berlari atau mengembara. Hal ini boleh dipadankan dengan orang Indo-Melayu (Austonesia) yang bergerak dari Yunan.

Asal Usul Bangsa Melayu

Dipercayai berasal daripada golongan Austronesia di Yunan. Kumpulan pertama dikenali sebagai Melayu Proto. Berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Batu Baru (2500 Sebelum Masihi). Keturunannya adalah Orang Asli di Semenanjung Tanah Melayu, Dayak di Sarawak dan Batak di Sumatera.

Kumpulan kedua dikenali sebagai Melayu Deutro. Mereka berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Logam kira-kira 1500 Sebelum Masihi. Keturunannya adalah orang Melayu di Tanah Melayu. Mereka ini dikatakan lebih bijak dan dan mahir daripada Melayu Proto. Meraka bijak dalam bidang astronomi, pelayaran dan bercucuk tanam. Kumpulan ini bilangan lebih banyak daripada Melayu Proto. Mereka menduduki kawasan pantai dan lembah di Asia Tenggara. Orang ini, kumpulan pertama dan kedua, dikenali sebagai Austronesia. Bahasa-bahasa yang terdapat di Nusantara sekarang berpunca daripada bahasa Austronesia ini.

Bahasa Austronesia ialah satu rumpun bahasa dalam filum bahasa Austris bersama-sama dengan rumpun bahasa Austroasia dan Tibet-China. Bahasa Melayu termasuk dalam bahasa-bahasa Golongan Sumatera bersama-sama dengan bahasa-bahasa Acheh, Batak, Minangkabau, Nias, Lampung dan Orang Laut.

Ahli bahasa membahagikan perkembangan bahasa Melayu kepada tiga tahap utama iaitu Bahasa Melayu Kuno, Bahasa Melayu Klasik dan Bahasa Melayu Moden.

Bahasa Melayu Kuno merupakan keluarga bahasa Nusantara. Kegemilangannya dari abad ke-7 hingga abad ke-13 pada zaman kerajaan Sriwijaya, sebagai lingua franca dan bahasa pentadbiran. Penuturnya berada di Semenanjung, Kepulauan Riau dan Sumatera. Ia menjadi lingua franca dan sebagai bahasa pentadbiran kerana ia bersifat sederhana dan mudah menerima pengaruh luar, tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat, mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding dengan bahasa Jawa.

Bahasa ini banyak dipengaruhi oleh sistem bahasa Sanskrit. Bahasa Sanskrit kemudian dikenal pasti menyumbang kepada pengkayaan kosa kata dan ciri-ciri keilmuaan (kesarjanaan) Bahasa Melayu. Ia nya mudah dipengaruhi Bahasa Sanskrit kerana pengaruh agama Hindu dan keadaannya yang terletak dalam kelas bangsawan, dan dikatakan mempunyai hierarki yang tinggi.

Peralihan Bahasa Melayu Kuno ke Bahasa Melayu Klasik dikaitkan dengan pengaruh agama Islam yang semakin mantap di Asia Tenggara pada abad ke-13. Selepas itu, bahasa Melayu mengalami banyak perubahan dari segi kosa kata, struktur ayat dan tulisan.

Bahasa Melayu Moden pula bermula pada abad ke-19. Hasil karangan Munsyi Abdullah dianggap sebagai permulaan zaman bahasa Melayu moden. Sebelum penjajahan Beritish, bahasa Melayu mencapai kedudukan yang tinggi, berfungsi sebagai bahasa perantaraan, pentadbiran, kesusasteraan, dan bahasa pengantar di pusat pendidikan Islam. Tetapi malangnya selepas Perang Dunia Kedua, British merubah dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar dalam sistem pendidikan. Cuma semasa Malaysia mencapai kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.