Di tahun 60’an
dan awal 70’an sebelum generasi TV, kanak-kanak berhibur dengan berbagai
permainan. Biasanya permainan-permainan ini dimainkan secara berkumpulan dimana
sekumpulan kanak-kanak sebaya, tidak kira lelaki atau perempuan akan bermain
bersama-sama. Permainan mereka sangat ‘simple’ dan tidak memerlukan ‘gadget’
yang mahal atau kompleks.
Dulu-dulu bagi
orang dewasa pula, hiburan mereka adalah dalam bentuk ttewah (pertandingan)
seperti ttewah kertok dan bbana (rebana), juga ttewah burung ttitir. Mereka
juga berhibur dengan persembahan dikir barat, dikir llaba, wayang kulit, nnora
(menora), tteri (puteri) dan rebab. Sekali sekala mereka dihiburkan oleh
tayangan wayang gambar dari Jabatan Penerangan dalam bentuk wayang pacak.
Bagi rakan-rakan
yang berumur nak masuk 50’an nama-nama permainan berikut mungkin akan
mengembalikan nostalgia pada zaman dahulu yang serba sederhana dan serba naif.
Coh, Nnusuk,
Dekcak, Bola Katok, Bbidah Para, Belaga Buah Getah, Pelaga Ikae Sepilar dan
Buah Getah
Bedil Terong Manggo,
Bedil Buah Terajae dan Redas Tin Susu.
Tehe Burung
Serindit, Ppulin, Candik. Tehe Taut, Cari Ikae Sepilar, Naik Wau dan Main Bola
Awa.
Permainan Bola
Awa
Bola awa
dimainkan dalam bentuk berpasukan, dan bilangan pemain tidak terhad dari 4
sepasukan hingga 10 sepasukan bergantung kepada bilangan peserta yang ada. Gelanggang khas tidak diperlukan, cuma memerlukan kawasan yang
sederhana luas sahaja. Peralatannya hanyalah memerlukan sebiji bola kecil
sahaja seperti bola getah atau bola kaduk (bola tennis) dan satu tin susu untuk
dijadikan tuku (home base).
Permainan
dimulakan dengan pengundian untuk memilih peserta dalam pasukan, ini adalah
supaya ‘adil’. Setelah peserta pasukan dipilih, kedua-dua pasukan akan mengundi
untuk menentukan siapa akan mula dulu. Biasanya ini dilakukan dengan o-song.
Setelah selesai pengundian, satu pasukan akan mula memukul bola dan satu
pasukan lagi akan menunggu bola yang dipukul. Matlamat pasukan yang menunggu
adalah untuk menangkap bola yang dipukul kearah mereka itu untuk ‘ko’kan pihak
lawan, atau paling tidak, menahan bola itu dari pergi jauh dari tempat ‘tuku’.
Pihak lawan yang
menangkap bola yang dipukul akan menggeleknya ke arah tin susu yang dijadikan
tuku, sekiranya bola mengena pada tuku itu maka giliran orang yang melakukan
pukulan akan berakhir dan diambil alih oleh pemain seterusnya. Sekiranya bola
tidak kena pada tuku, pemain tersebut boleh meneruskan kepada buah (pusingan)
seterusnya. Ini akan diulangi sehingga semua pemain dalam pasukan yang memukul
(bbowok) mati.
Ko akan berlaku
apabila bola dapat disambut tanpa jatuh ke tanah (lebih kurang kriket atau
baseball). Apabila ini terjadi, semua dalam pasukan yang ‘bbowok’ bola itu akan
dikira mati dan pasukan lawan akan mengambil alih giliran bbowok. Pasukan yang
bbowok akan bergilir-gilir memukul bola dengan berbagai buah (gaya) yang telah
ditentukan.
Buah Pertama :
Buah Belakang
Sipemukul
(bbowok) akan membelakangi pihak lawan, bola dilambung sedikit lalu dipukul ke
arah lawan. Caranya adalah dengan memukul ke bawah supaya bola dengan cepat
jatuh ke tanah, dan mencari arah yang jauh dari tuku.
Buah Kedua : Buah
Tepuk Dada
Orang bbowok akan
menghadap ke arah lawan, bola dilambung ke atas dan sebelum pukul mesti tepuk
dadanya dahulu. Buah ini amat digemari kerana senang untuk dilakukan.
Buah Ketiga :
Buah Siku
Pada pusingan ini
orang yang bbowok akan menghadapi sedikit kesukaran membawanya. Sebelah tangan
(kanan atau kiri) akan memegang bahagian siku tangan yang sebelah lagi melalui
belakang. Belah tangan yang dipengang siku itu juga akan digunakan untuk
melambung dan memukul bola. Kebiasaannya di round ini lah yang pihak lawan
dengan mudah dapat sambut bola dan bertukar giliran.
Buah Keempat :
Buah Kut Celah Kekeng
Bola yang hendak
dipukul mestilah terlebih dahulu dilambung melalui kedua kaki atau mengikut
syaratnya melalui bawah lutut. Caranya ialah dengan mengangkat sedikit kaki dan
tangan diletakkan dibawah bahagian lutut lalu dlambungkan bola dan seterusnya
memukul bola itu.
Pusingan ini
adalah sangat menyukarkan bagi pemain perempuan kerana pada masa dahulu semua
perempuan memakai kain sarung dan tiada yang memakai seluar/ track walaupun
semasa bermain atau melakukan aktiviti lasak.
Buah Kelima :
Buah Kuda
Apabila sampai ke
buah ini bermakna, satu pusingan telah hampir tamat. Pemain perlu bola dan kuda
(menendang ke atas) sekuat hati. Pihak lawan sudah boleh mengagak di mana
berakhirnya bola itu, jadi mereka menunggu jauh di belakang. Berakhirnya buah
ini bermakna tamat lah satu round bola awa.