RM
7.00 Kadar Zakat Fitrah Tahun Ini
10
Julai 2012 (Selasa) - Kadar zakat fitrah
bagi umat Islam di Kelantan kekal pada RM7 tahun ini, kata Timbalan Yang
Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) Datuk
Kamaruddin Mohd Zin. Beliau berkata ketetapan tersebut diputus Maik selepas
diperkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.
"Adalah
dijangkakan kutipan zakat fitrah pada tahun ini ialah RM7.9 juta berbanding
RM7.8 juta pada 2011, iaitu peningkatan sebanyak 1.28 peratus. Ini disebabkan
penambahan penduduk khasnya dalam kalangan umat Islam di negeri ini,"
katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Beliau
berkata Maik melantik 611 amil untuk memungut zakat fitrah, yang terdiri
daripada imam masjid, pegawai agama di kem-kem tentera, balai polis dan pusat
tahanan. Kamaruddin berkata pihaknya turut menyediakan perkhidmatan pembayaran
zakat fitrah melalui perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) Maxis bermula 1 hingga
akhir Ramadan tahun ini. Bagi zakat
harta pula, Maik mengalu-alukan orang ramai untuk berbuat demikian di kaunter
pejabat Maik yang akan dibuka mulai 21 Julai hingga 18 Ogos termasuk hari cuti
umum dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.
"Selain
itu, pembayar zakat juga boleh membuat pembayaran melalui institusi perbankan
yang dilantik Maik sebagai ejen kutipan zakat iaitu Bank Islam (M) Bhd (BIMB),
CIMB, AmBank, Maybank dan Bank Rakyat.
Pembayaran
boleh dilaksanakan dengan menggunakan perkhidmatan kaunter dan perbankan
Internet," katanya. Katanya, orang ramai juga boleh membuat pembayaran
zakat melalui pejabat pos di seluruh negeri. Kamaruddin berkata Maik memungut
RM90.3 juta kutipan pelbagai jenis zakat tahun lalu berbanding RM90 juta pada
tahun sebelumnya iaitu peningkatan 33.82
peratus.
"Adalah
dijangkakan pada tahun ini, kita dapat memungut RM100 juta dari pelbagai jenis
zakat, termasuk zakat pendapatan, zakat simpanan, zakat perniagaan, zakat
emas/perak, zakat saham, zakat pertanian dan zakat ternakan," katanya. –
Bernama