Kacae Mio
Kacae mio adalah panggilan khusus yang diberi oleh orae Kelatae bagi kacang bendi. Ia merupakan sejenis buah yang dimakan sebagai sayuran yang banyak ditanam di negara-negara panas dan lembap. Apabila kita ke pasar tani, pasar sayur dan pasar raya kita boleh jumpai dengan mudah sayuran kacae mio ini.
Nama saintifiknya Aabelmoschus Eesculentus. Di barat di kenali dengan okra atau ladies fingers’. Di Timur Tengah, Balkan, Iran, Greece, Afrika Utara dan Russia menggunakan asas dari perkataan Arab, ia itu "bāmyah". (Mungkinkah kacae mio ini asal dari perkataan Arab? myah >> mio). Di India di panggil bhindi, kemungkinan kacae mio diperkenal di Kepulauan Melayu oleh orang dari India, jika berasaskan pada panggilan yang diberikan.
Spesis ini berasal dari tanah tinggi Habsyah, di bawa menyeberang Laut Merah atau Selat Bab-el-Mandeb ke Semenanjung Arab. Dari Arab ia berkembang di sekeliling pantai Laut Mediterranean ke arah timur. Kacae mio di perkenalkan ke benua Amerika bersama dengan perdagangan hamba abdi di mana kehadirannya direkodkan di Brazil pada tahun 1658.
Kacae mio tumbuh menegak, tingginya boleh mencapai 2 meter. Ia ditanam untuk buahnya yang berlendir. Terdapat dua jenis kacae mio yang popular iaitu bersegi lima dan tujuh. Pokoknya berdaun hijau, bunga kuning dan buahnya berwarna hijau. Ada varieti buah berwarna merah. (Biji benihnya boleh dibeli di Cameron Highlands). Ia mudah ditanam dan kurang diserang penyakit dan perosak.
Buah dan bahagian-bahagian lainnya boleh digunakan dengan pelbagai cara. Buahnya boleh dimasak dengan pelbagai cara; kari, sebagai ulam, salad dan digoreng. Orae Kelatae suka makae kacae mio singgae. Buahnya juga diproses iaitu ditin, dibekukan dan dijeruk dengan garam. Lendirnya pula digunakan sebagai bahan pemekat untuk sos tomato. Di India, batang-batang kacae mio yang tua dijadikan kertas dan biji-bijinya yang tua dijadikan minuman harian menggantikan kopi.
Kacae mio mengandungi sebanyak 2% protein, 7% karbohidrat dan 1% serat, menurut kajian, kacae mio juga kaya dengan zat galian dan vitamin. Ia sangat baik untuk perkembangan otak. Dalam bidang perubatan ia digunakan sebagai perangsang untuk membuang air kecil, berkesan untuk merawat gonerea, sifilis serta bengkak saluran kerongkong dan hidung.
Kacae mio boleh ditanam di kebanyakan jenis tanah seperti gembur berpasir, tanah liat, tanah gambut. Penanamannya mudah. Buah-buah kacae mio boleh dituai dengan memotong 2 sm dari pangkal buah. Jangan beri ia tercedera kerana lendirnya akan keluar berterusan dan ini boleh menjatuhkan mutu buah. Kacae Mio boleh mula dipetik ketika; 50 - 55 hari selepas ditanam, 5 - 6 hari selepas bunga berkembang dan berlaku pendebungaan dan buahnya mencapai ukuran 10 - 12 sm panjang, iaitu buah-buahan masih lembut, hujungnya rapuh, senang dipatahkan dan belum berpulur.
Resipi Singgae Kacae Mio (Singgang Bendi )
- 6 biji Kacae mio muda
- ½ cm Lengkuas
- 3 ulas Bawang merah - dimayang
- 2 ulas Bawang putih – di mayang
- 1 keping Asam gelugor
- 1 biji lada merah – dipotong dua
- 3 ½ cawan Air
- Sedikit Garam
- Sedikit Gula atau nisae
Cara-caranya
- Masukkan lengkuas, asam gelugor, bawang merah, bawang putih dan air ke dalam periuk dan rebus sehingga gelegak.
- Selepas itu, masukkan garam dan gula secukup rasa diikuti dengan kacae mio dan cili merah.
- Kemudian, biarkan mendidih sehingga masak. Kurangkan mengacau selepas kacae mio dimasukkan supaya kurang berlendir.