Hak dan Peranan Retrenched Workers
Kalau baca kenyataan akhbar sehari dua ni, kenalin juga rasa. Dijangkakan pada tahun ini lebih 400,000 orang akan diberhentikan, tak campur lagi yang bekerja di Singapura yang akan hilang pekerjaan. Tetapi Alhamdulillah setakat ini pekerja di Kelantan masih belum merasa kesan ketara. Tahun 2008 cuma 472 orang sahaja kena berhenti dari 19 majikan. Tahun 2009 pun angka yang telibat tidak tinggi setakat ini.
Walau bagai mana pun, seorang pekerja patut tahu apa yang dia harus lakukan sekiranya perkara ini berlaku mereka.
Yang dimaksudkan dengan pemberhentian pekerja adalah penamatan kontrak perkhidmatan akibat berlaku beberapa sebab seperti penutupan syarikat, pengurangan pengeluaran, penggabungan syarikat, perubahan teknologi, pengambilalihan syarikat dan juga kegawatan ekonomi seperti sekarang ini.
Pekerja-pekerja yang diberhentikan kerja layak menerima faedah-faedah penamatan kerja minimum kerana mereka dilindungi di bawah Akta Kerja 1955 atau Perjanjian Bersama (Collective Agreement).
Akta Kerja 1955
Secara amnya, pekerja yang dilindungi di bawah Akta Kerja 1955 yang terlibat dengan pemberhentian layak untuk menuntut faedah-faedah berikut :-
1. Gaji Gantirugi Notis
Pekerja yang diberhentikan kerja dan tidak diberi tempoh notis penamatan perkhidmatan yang mencukupi, boleh menuntut bayaran gaji gantirugi notis (indemniti). Gaji gantirugi notis hendaklah dibayar selewat-lewatnya pada hari terakhir kontrak perkhidmatan ditamatkan.
2. Faedah penamatan kerja
Pembayaran faedah pemberhentian kerja mesti mengikut ketetapan di dalam kontrak perkhidmatan, tetapi jangan kurang daripada kadar minimum yang ditetapkan di bawah Peraturan Kerja (Faedah-faedah Penamatan dan Rentikerja Sentara) 1980, Akta Kerja 1955, iaitu:
- jika pekerja telah bekerja kurang daripada 2 tahun, diberi 10 hari gaji bagi setiap tahun bekerja;
- jika pekerja telah bekerja selama 2 tahun tetapi kurang daripada 5 tahun diberi 15 hari gaji bagi setiap tahun bekerja; atau
- jika pekerja telah bekerja 5 tahun atau lebih diberi 20 hari gaji bagi setiap tahun bekerja; dan
- pro-rata bagi tempoh perkhidmatan yang tidak genap setahun, mengikut genap bulan yang hampir sekali.
Kaedah pengiraan yang ditetapkan di bawah Peraturan Kerja (Faedah-faedah Penamatan dan Rentikerja Sentara) 1980 ialah :-
Gaji 12 bulan x Bil Tahun Bekerja x Kelayakan**
365 hari
** [10 hari/15 hari /20 hari]
Adalah menjadi hak bagi pekerja mendapat butir-butir bertulis tentang amaun jumlah faedah penamatan dan juga cara mengiranya. Faedah penamatan kerja itu mesti dibayar selewat-lewat 7 hari dari tarikh pekerja ditamatkan perkhidmatan.
Sekiranya ada baki cuti tahunan bayaran hendaklah di buat sebagai ganti, dan pekerja-pekerja yang terlibat boleh merujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
Akta Perhubungan Perusahaan 1967
Tapi kalau pekerja itu adalah ahli kesatuan sekerja dan menandatangani CA, dia layak kepada perkara-perkara berikut :-
i. Pampasan yang dinyatakan di dalam CA atau
ii. Pemulihan Kerja, sekiranya pekerja tidak puas hati diberhentikan oleh majikannya.
Pekerja yang tidak dilindungi di bawah Akta Kerja 1955 atau CA, jumlah pampasan yang akan diterima tertakluk kepada terma dan syarat di dalam kontrak perkhidmatan atau budi bicara majikan. Mereka boleh mendapat nasihat selanjutnya dari Jabatan Perhubungan Perusahaan.
Kalau ada yang kena berhenti kerja, saudara saudari boleh ambil langkah berikut:-
i. Lapor kepada JTK, cadangan atau tindakan pemberhentian yang akan atau telah berlaku.
ii. Pergi ke pejabat JTK untuk berdaftar. Macam biasa bawa lah kad pengenalan, sijil dan dokumen lain yang berkaitan. Kalau malas nak pergi ke ofis JTK boleh juga daftar online di http://www.jobsmalaysia.gov.my/.
iii. Pastikan dibayar pampasan atau faedah penamatan kerja.
iv. Kalau dapat kerja lain khabarkan lah kepada JTK.
v. Kalau susah atau tak dapat kerja daftar lah untuk latihan kemahiran di institusi yang sesuai.
Bagi saudara kita yang bergelar majikan walaupun dalam keadaan gawat seperti ini, kalau boleh elak memberhentikan pekerja elak lah, kesian mereka. Anak-anak nak ke sekolah, sewa rumah nak kena bayar. Pinjaman perumahan juga nak kena bayar, kalau tidak rumah mungkin dilelong, kereta mungkin kena tarik. Kalau boleh ikhtiar, try lah langkah-langkah berikut :-
i. Tak usah ambil pekerja baru, melainkan tak dok arah.
ii. Hadkan masa OT, kerja pada hari rehat mingguan dan cuti am.
iii. Kurangkan hari bekerja dalam seminggu, kurangkan bilangan kerja syif atau kurangkan waktu kerja harian.
iv. Adakan program reskilling kepada pekerja.
v. Fikirkan kerja alternatif atau pertukaran ke department lain.
vi. Habih tak dok arah, berhentikan sementara (lay-off). Caranya adalah melakukan temporary shut-down dengan memberikan gaji hok munasabah dan bantu mereka dapat kerja sementara di tempat lain. Ini sehingga tuan mula balik operasi. Saudara kena lapor ke JTK tempoh lay-off ini.
vii. Langkah akhir, selepas langkah penjimatan kos lain sudah dibuat, kurangkan gaji pekerja (pay-cut). Tapi buatlah secara adil. Langkah v,vi dan vii kena ada persetujuan bertulis dari pekerja atau kesatuan sekerja mereka.
viii. Kalau buat belako doh dan rezeki setakat tu jah, tolonglah cari kerja di tempat lain untuk ditawarkan kepada mereka.